Data pelayaran AirAsia diserang perisian tebusan, 5 juta pengguna dalam bahaya
KUALA LUMPUR 12 Dis. – Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Cybersecurity Malaysia (CSM) memulakan siasatan berhubung insiden ketirisan data peribadi lima juta penumpang dan kakitangan AirAsia akibat digodam oleh kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Daixin.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, siasatan itu dibuat dengan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Capital A yang merupakan syarikat induk kepada AirAsia pada 1 Disember lepas.
Berdasarkan siasatan awal, serangan siber ke atas sistem pelayan AirAsia berlaku pada 12 November 2022 yang berpunca dari akses tanpa kebenaran mengakibatkan serangan perisian tebusan (ransomware).
Susulan perbincangan tersebut, Capital A diarahkan untuk mengemukakan dokumen keterangan berserta bukti data berkomputer yang berkaitan dengan siasatan kes ini.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca pencerobohan dan impak keseluruhan insiden yang berlaku.
“Bagaimanapun perincian berhubung kes tidak dapat didedahkan kepada umum buat masa ini sementara siasatan masih dijalankan bagi mengelakkan implikasi perundangan serta mengganggu siasatan,” katanya.
Fahmi, pada masa yang sama, menggesa semua pengguna data sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa dengan memastikan infrastruktur sistem, pangkalan data serta rangkaian dikemas kini dan selamat.