Nasional

Dasar Pandang Ke Timur Jadikan Malaysia Destinasi Pelaburan Strategik – PM

Dasar Pandang Ke Timur yang dimulakan 40 tahun lalu menjadikan Malaysia antara destinasi pelaburan yang strategik bagi syarikat dari terutamanya dari negara matahari terbit, sekali gus menjadi penyumbang kemajuan pelbagai sektor dalam negara,

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh Januari hingga Mac 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun meningkat sebanyak 13.3 peratus dengan RM41.75 bilion (USD9.96 billion) berbanding RM36. 86 (USD9.07 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.

“Pada tempoh berkenaan, jumlah eksport Malaysia ke Jepun juga meningkat sebanyak 19.6 peratus iaitu RM22.68 bilion (USD5.41 bilion) berbanding RM18.96 (USD4.66 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2021.

“Dalam pertemuan saya bersama Presiden Japan-Malaysia Economic Association (JAMECA), Tsuyoshi Nagano yang juga Pengerusi Tokyo Marine Holdings Inc dan Setiausaha Agung persatuan Kazuto Sasaki pagi ini, mereka menyatakan hasrat untuk membantu menarik lebih ramai pelabur dari Jepun,” katanya.

Perdana Menteri yang sedang menghadiri Persidangan Nikkei ke-27 mengenai Masa Depan Asia berkata demikian menerusi Facebook rasmi miliknya.

Ujar Perdana Menteri lagi, perkara itu mampu membantu untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan kembali ekonomi negara.

“Dalam pertemuan itu, JAMECA turut menyatakan hasrat untuk mengadakan Seminar Dasar Pandang ke Timur pada 1 Ogos 2022 nanti.

“JAMECA ditubuhkan secara rasmi pada 1977 di Kuala Lumpur dengan tujuan untuk mempromosikan keharmonian hubungan ekonomi antara Malaysia dan Jepun,” jelas Perdana Menteri.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button