Nasional

Dasar Inovasi Sosial 2025-2030 pemacu pembangunan inovasi sosial mampan

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah meluncurkan Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2025-2030 dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi sebagai strategi jangka panjang yang komprehensif
untuk mengatasi pelbagai cabaran sosioekonomi yang dihadapi rakyat Malaysia.

Menyedari kepentingan penyelesaian yang inovatif dan efektif, DIS akan memperkasakan masyarakat tempatan melalui pendekatan ‘Local Issue, Local Technology & Local Benefit’.

Usaha ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Environment, Social, Governance (ESG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama dan
Pembangunan Ekonomi (OECD).

Inovasi sosial adalah agenda global yang kian diberi tumpuan sebagai wadah dalam menangani cabaran sosio ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,Chang Lih Kang dalam ucapannya telah menyebut bahawa inovasi sosial menawarkan pendekatan inklusif yang menggalakkan penyertaan pemaju teknologi dan bakat tempatan sebagai pemangkin dalam pembangunan penyelesaian inovatif, termasuk di peringkat akar umbi.

DIS merupakan dasar sektoral yang menyokong Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030. DIS menjadi asas strategik untuk menangani cabaran sosioekonomi melalui pemerkasaan inovasi sosial sebagaiagen perubahan dalam memacu peningkatan ekonomi negara berteraskan Sains, Teknologi, Inovasi dan
Ekonomi (STIE).

Melalui DIS, kerajaan berhasrat untuk mencipta solusi yang praktikal dan berimpak tinggi bagi mengatasi cabaran-cabaran sosial di peringkat akar umbi seperti kemiskinan, kesenjangan pendidikan dan isu kesihatan  yang membelenggu masyarakat yang berdepan dengan keterbatasan fiskal.

MOSTI akan berperanan sebagai peneraju, penyelaras, pemudah cara dan pemantau pelaksanaan DIS manakala Yayasan Inovasi Malaysia bertindak sebagai rakan pelaksana inisiatif inovasi sosial.

Pelbagai inisiatif Inovasi Sosial sedang dan akan dilaksanakan untuk terus memberi manfaat kepada masyarakat. Sebagai contoh, satu (1) projek MyIS Komuniti dengan jumlah pendanaan RM300,000.00 berpotensi menjana RM3.6juta dalam tempoh tiga (3) tahun, mewujudkan 40 peluang pekerjaan di komuniti.

Justeru, bagi tempoh enam (6) tahun, pelaksanaan dasar tersebut, dianggarkan 30 projek dapat dijayakan sebanyak RM108juta pulangan berpotensi dapat dihasilkan kepada negara dan mewujudkan 1,200 peluang pekerjaan.

Turut berlangsung selama tiga (3) hari mulai 15 hingga 17 Disember 2024 di Hotel Tenera adalah Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2024 yang bertemakan ‘Gateway to the Future: Innovation Unleashed’.

Konvensyen ini menghubungkan inovator sosial untuk berkongsi pengetahuan, mendorong transformasi sosial, dan memajukan pembangunan negara melalui teknologi tempatan.

Ia juga menjadi platform untuk MOSTI mempromosikan Inisiatif Inovasi Sosial dalam pembangunan Sains, Teknologi, Inovasi (STI), menyokong ekonomi, melahirkan inovator sosial serta mengiktiraf segala bentuk sumbangan para inovator, pemegang taruh dan komuniti dari segi penciptaan sehinggalah kepada pengkomersialan produk yang mencorak lanskap inovasi sosial di negara ini.

Selain peluncuran DIS yang merupakan acara kemuncak KIS2024, pelbagai acara dan pengisian telah diadakan, termasuk pameran ‘Celebration of Social Impact’, forum ‘International Connection – Ideation to Impact’, pertandingan ‘48 Hours Innovate Challenge’, Malam Apresiasi Networking Inovator Sosial, serta seminar dan bengkel bagi meningkatkan keupayaan para inovator.

Lebih 3,000 pengunjung daripada pelbagai peringkat dan institusi, 220 inovator sosial tempatan, 68 pempamer  produk inovasi serta enam (6) pembicara antarabangsa dari India, Thailand dan Filipina hadir memberikan impak bermakna di dalam penganjuran KIS 2024.

MOSTI menyeru semua pihak berkepentingan, termasuk sektor swasta, NGO, dan masyarakat untuk memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan DIS. MOSTI juga berharap agar platform seperti KIS 2024 dapat dimanfaatkan oleh pemegang taruh dan pihak-pihak berkepentingan, terutamanya inovator, untuk mencetuskan idea baharu dan mempromosikan inovasi sosial sebagai penyelesaian kepada isu sosioekonomi, selain menyokong pembangunan ekonomi negara. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button