Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk
memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat
menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat
dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan
Ekonomi Negara (MTEN) telah berbincang mengenai cadangan Dasar Gaji
Progresif (progressive wage policy).
Menurutnya, ia sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja
supaya gaji pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan
gaji lebih seimbang.
Beliau berkata, Dasar Gaji progresif ini adalah bersifat sukarela
(voluntary), berteraskan insentif (incentive-based) dan terkait dengan
produktiviti (productivity-linked).
“Model dasar ini diusulkan setelah MTEN mengambil kira pandangan dan
kepentingan pihak majikan dan pekerja.
“Dasar ini, yang merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum akan disusuli
dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan,
dan peringkat.
“Sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62 peratus
pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif
dengan ciri-ciri yang dinyatakan.
“MTEN berharap dasar ini akan menerimasambutan dan penyertaan sebanyak
syarikat dan pekerja yang mungkin,” ujarnya selepas mempengerusikan MTEN di
sini hari ini.
Mengulas lanjut Anwar berkata, langkah selanjutnya yang akan dilakukan
adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan,
terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja.
Sehubungan itu kata Perdana Menteri, perkara ini akan dibawa ke Jemaah
Menteri bagi memperhalusi mekanisma pelaksanaan secara berperingkat dan
meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang
akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan dan keperluan
dasar.
Tegasnya, isu gaji merupakan antara perkara pokok yang tidak boleh diabaikan
lagi.
Jelasnya, berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku
Pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lepas, lebih 2 juta pekerja
Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
“Situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20-24 tahun
di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan.
“Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500
pada paras tertinggi sekitar umur 40-49 tahun sepanjang kerjaya mereka,”
katanya.
Perdana Menteri berkata, Gagasan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat merupakan
wadah yang menetapkan halatuju negara dalam tempoh sederhana terutamanya
untuk meletakkan negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan di kalangan 30
ekonomi terbesar dunia.
Justeru beliau menambah, dalam masa yang sama, berikutan peratusan
pendapatan pekerja Malaysia (wage share ratio) telah menurun daripada
37.2 peratus pada 2020 kepada 32.4 peratus pada 2022, Kerajaan menetapkan
sasaran nisbah ini agar dapat ditingkatkan kepada 45 peratus daripada jumlah
keseluruhan pendapatan. – SM