Uncategorized

Darurat politik, darurat kesihatan?

Kerajaan dijangka mengumumkan ‘darurat kesihatan’ dalam tempoh terdekat bagi lebih tumpuan kepada usaha menangani isu penularan wabak COVID-19 dalam komuniti di Malaysia sekarang ini.

PNBBC memetik sumber, pelaksanaan ‘darurat kesihatan’ itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama anggota Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pagi tadi.

Sumber berkata, Perdana Menteri juga sudah mendapatkan pandangan daripada pihak berkenaan termasuk Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Peguam Negara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung langkah terbaharu bakal diambil kerajaan itu.

Difahamkan, kerajaan terpaksa melaksanakan ‘darurat kesihatan’ berikutan terdapat kebimbangan mengenai peningkat kes COVID-19 terutama di Sabah, Selangor dan Kedah ketika ini, selain rayuan pengurusan tertinggi pasukan petugas barisan hadapan terutamanya KKM.

“Pelaksanaan darurat kesihatan ini penting bagi membolehkan kerajaan terutamanya MKN dan KKM memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam masyarakat berdasarkan norma baharu.

“Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia bukan perintah berkurung dan mereka masih boleh keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan harian seperti biasa dengan syarat perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi PNBBC.

Malah, spekulasi mengenai kemungkinan kerajaan akan mengumumkan darurat kesihatan bertambah kuat apabila aPerdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Pekan Pahang.

Dalam pada itu, usaha wakil media yang menunggu hampir 3 jam pekarangan Bangunan Perdana Putra mulai jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi untuk mendapatkan komen anggota Kabinet mengenai perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Kabinet tidak berhasil apabila semua menteri Kabinet enggan memberhentikan kenderaan masing-masing apabila melalui kawasan itu

Terdahulu, lebih 20 pengamal media termasuk wartawan dan jurugambar pelbagai agensi berita ‘berkampung’ di luar pekarangan bangunan sejak pukul 8.30 pagi tadi bagi mendapatkan maklumat mengenai mesyuarat khas itu.

Pengamal media yang berkampung di luar bangunan cuba mendapatkan reaksi dan komen daripada menteri Kabinet yang hadir sejurus mesyuarat berakhir namun, mereka langsung tidak menurunkan tingkap kenderaan sebaik disapa wartawan.

Sebelum ini pelbagai khabar angin tersebar di media sosial kononnya ada rombakan Kabinet yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Malah, ada sumber lain memaklumkan mesyuarat itu membincangkan situasi terkini penularan wabak COVID-19 serta usaha mengekang wabak berkenaan susulan peningkatan mendadak kes positif akhir-akhir ini.

Terdahulu, kenderaan membawa Perdana Menteri tiba di Bangunan Perdana Putra dan dilihat memasuki pintu utama Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 8.57 pagi.

Antara anggota Kabinet yang hadir mesyuarat khas berkenaan termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohammad Al-Bakri.

Turut kelihatan termasuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd. Khairudin Aman Razali dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selain itu turut kelihatan memasuki pekarangan Bangunan Perdana Putra ialah Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Malaysia pernah mengumumkan darurat bencana jerebu sebanyak tiga kali berpunca pembakaran terbuka di negara jiran.

Pertama kali pada 19 September 1997 di Sarawak, apabila bacaan IPU mencecah 600.

Kemudian diikuti Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang pada 11 Ogos 2005 (IPU melebihi 500) dan terakhir di Muar dan Ledang, Johor pada 23 Jun 2013 apabila IPU melebihi 500.

Ini bermakna kerajaan boleh mengumumkan darurat bencana akibat penularan pandemik Covid-19 sekiranya jumlah kes baharu harian mencecah satu angka yang kritikal.

Pada 18 Oktober kes tertinggi dicatatkan dengan 871 kes baharu. Angka kematian juga pernah dilaporkan 6 kes sehari.

Darurat kini bukan bukan lagi berkisar kepada ancaman komunis atau keselamatan negara seperti difahami sebelum ini tetapi ia merangkumi soal ancaman kepada kesihatan, ekonomi dan kenteteraman awam.

Apa pun, jika Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri mendapati tindakan itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan, rakyat Malaysia kena bersedia menghadapinya.

Seorang peguam, Rosni Zahari berkata, untuk mengatasi krisis kesihatan, ekonomi dan politik, Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di bawah peruntukan Perkara 150(1) untuk mengisytiharkan darurat.

“Perkara 150(1) memperuntukan jika YDPA berpuas hati bahawa satu darurat besar sedang berlaku yang akan menyebabkan keselamatan,@ kehidupan ekonomi,@ ketenteraman awam terancam, maka YDPA boleh mengeluarkan satu proklamasi darurat.

“Jika proklamasi darurat ini di isytiharkan, Parlimen boleh digantung, dan sebarang pilihan raya kecil atau pilihan raya umum boleh ditangguh,” katanya.

Menurut beliau, ini dapat membendung ahli parlimen daripada melompat parti dan boleh menghentikan urusniaga pembelian ahli parlimen – “horse trading surrounding no confidence votes”.

“Bahayanya dengan proklamasi darurat adalah ia akan memberi hak atau kuasa tanpa had kepada esekutif, perundangan dan kewangan.

“Proklamasi darurat ini tiada had masa. Akhirnya tiada siapa yg akan berani melabur dlm negara kita, juga boleh mengakibatkan pelabur yang sedia ada akan lari di sebab kan oleh ketidakpastian politik,” katanya.

Beliau berkata, bahaya ini dapat diatasi jika kerajaan bersedia untuk mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan yang mencakupi semua kumpulan politik yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan kaum, dengan meletakkan tempuh had masa darurat enam bulan atau tidak lebih setahun dan mewujudkan satu undang undang mengharamkan ahli parlimen daripada melompat parti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button