Darurat: Saifuddin, Loke, Dzulkefly anggotai Jawatankuasa Khas Bebas
PAKATAN Harapan telah menghantar tiga kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan bagi menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas.
Mereka yang dipiliha adalah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Seremban (DAP) Loke Siew Fook dan dan Ahli Parlimen Kuala Selangor (Harapan) Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad.
“Penyertaan wakil Pembangkang ke dalam Jawatankuasa Bebas ini tidak mengubah pendirian kami bahawa alasan-alasan yang dikemukakan Perdana Menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima.
“Kami serta majoriti Ahli-Ahli Parlimen juga kekal dengan pendirian bahawa darurat ini perlu ditamatkan dan Parlimen perlu bersidang segera,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Setiausaha Pakatan Harapan.
Sabtu lalu, media melaporkan, Takiyuddin berkata, pihaknya sudah meminta Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan tiga nama Ahli Parlimen pembangkang untuk menyertai jawatankuasa itu.
Beliau dilaporkan berkata, bekas Ketua Hakim Negara, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) serta bekas Ketua Polis Negara (KPN) adalah antara individu bakal dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong, berkenaan perintah darurat yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Takiyuddin turut dilaporkan berkata, selain mereka, tokoh dalam bidang keselamatan, pertahanan, badan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis sosial sudah dinamakan oleh kerajaan untuk diperkenan dan dilantik oleh baginda.-SM