Darurat mungkin jadi pencetus pemerintahan diktator – Anwar
KETUA Pembangkang di Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan perisytiharan darurat hanya akan membawa kepada pemerintakan berbentuk diktator.
Presiden Parti Keadilan Rakyat itu berkata, darurat hanya boleh dilaksana sekiranya terdapat ancaman terhadap keselamatan negara.
“Tetapi apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata suatu langkah kebelakang yang akan memungkin kediktatoran.
“Saya menggesa (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbang semula keputusan ini kerana ia ternyata suatu keputusan yang pendek akal dan penting diri,” kata Anwar.
Katanya, dengan langkah yang diambil maka kerajaan Perikatan Nasional yang tidak mempunyai keabsahan telah menonjolkan kelemahan dalam menangani wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang sedang negara hadapi sekarang.
Tegas Anwar, negara-negara lain di rantau ini sedang memikirkan pelbagai cara bagi menangani wabak dan benarkan aktiviti ekonomi untuk bergerak, namun Malaysia sedang bergerak kebelakang.
“Kita masih belum mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, tetapi apa yang terpamer adalah pemerintah merasakan strategi ampuh untuk melawan dampak wabak adalah dengan melemahkan demokrasi.
“Apa yang kita perlukan dalam mendepani wabak Covid-19 adalah ketelusan, kebertanggungjawaban dan dasar yang jelas oleh pelbagai kementerian.
“Pemerintah telah gagal menonjolkan kepimpinan yang berkualiti saat wabak, malah telah mengambil langkah yang mencurangi demokrasi untuk terus berkuasa,” kata Anwar.-SM