Dari penganggur kini Hairul berjaya mencipta nama di seluruh Asia
Hilang pekerjaan bukan jalan terakhir bagi anak muda yang bernama Hairul Mafahir Abdullah, sebaliknya dia terus mencari ruang dan peluang untuk meneruskan kehidupan.
Siapa sangka selepas badai hujan turun kini pelangi tiba, anak muda berumur 26 tahun ini dinobatkan sebagai penerima anugerah Prince Trust Sustainability Award for Asia 2022 (PTI), sebuah organisasi global yang diasaskan oleh Raja Charles lll.
Walaupun beliau yang sebelum ini merupakan juruteknik kejuruteraan namun tidak menghalang dirinya menceburi bidang konservasi hutan memandangkan beliau juga pernah menyertai persatuan pengakap dari sekolah dan mempunyai sedikit pengalaman dalam bidang tersebut.
Selain itu beliau juga merupakan kelulusan Diploma Mekatronik dari German Malaysia Institute (GMI) menyifatkan kerjayanya kini sebagai Penyelaras Biodiversiti dan Pemulihan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC) tidak tersasar dari bidang yang dipelajarinya.
Menurut Hairul, dia terdetik untuk menyertai Program TEAM anjuran Selangor Youth Community (SAY) ini yang dilaksanakan bagi menyokong belia Malaysia menerusi modul perkembangan peribadi dan profesional, kerana ingin mengubah nasib untuk lebih berjaya.
“Bermula perjalanan saya selama sembilan minggu, dari bulan Februari 2022, saya banyak belajar tentang kepimpinan, kewangan, melakukan kertas kerja dan pelbagai hal berkaitan.
“Kemudian ditempatkan di TRCRC Shah Alam selama dua minggu sebagai latihan pekerjaan dan terus ditawarkan pekerjaan sebagai penolong penyelidik selepas tamat Program TEAM“. katanya selepas majlis penganugerahan Prince’s Trust Sustainability Award for Asia di sini, hari ini.
Hairul ditempatkan dibawah projek Banun di Hutan Simpan Amanjaya, Grik, Perak, sebagai penolong penyelidik selepas menamatkan program dari TEAM.
Kini harinya hanya bekerja di hutan menjaga anak pokok asli dan memantau hidupan liar, bukan sahaja tertumpu kepada dirinya sendiri malah masyarakat sekeliling dan alam semula jadi.
Beliau juga berharap agar Program TEAM dapat kekal maju di masa hadapan dan memberi peluang kepada lebih ramai golongan belia untuk berjaya.
Bagi pengurus Program Team, Aiman Nazri berkata, calon-calon yang menyertai program ini perlu dilihat aspek membantu masyarakat setempat dan menaikkan taraf ekonomi keluarga.
“Hairul memang layak dipilih sebagai pemenang kerana dia menangung keluarga dan membantu masyarakat setempat seperti contoh dia menjalin kerjasama bersama masyarakat orang asli di gerik“. Jelasnya.
Penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Turut bersama Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay dan Ketua PTI Asia, Wassim Malik.