JenayahNasionalNegeri

Dari Kedah masuk ke perairan Perlis curi benih kerang 820 kilogram

BOT berpengkalan di Kedah tapi sampai sanggup masuk ke perairan Perlis hanya untuk melakukan aktiviti yang terlarang.

Rupanya ketiga bot fiber yang ditahan oleh Maritim Malaysia ini mempunyai misi yang sama iaitu menangguk benih kerang yang diharamkan sebanyak 820 kilogram.

Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain ekoran penahanan kesemua bot fiber ini di tiga lokasi berbeza antara pukul 6.30 petang semalam di perairan Kuala Sanglang.

Beliau berkata, bot ronda Maritim Malaysia telah tiba ke lokasi tangkapan ketika sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Perlis.

“Bot fiber bernombor pendaftaran KHS 3975, KHS 3990 dan satu daripadanya tiada bernombor pendaftaran ditahan pada pukul 6.30 hingga 6.55 petang pada kedudukan 0.5 hingga 2.4 batu nautika dari barat laut Kuala Sanglang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kesemua bot terbabit yang berpengkalan di Kedah itu melakukan aktiviti menangguk benih kerang secara haram.

Mohd Hashim berkata, ketiga-tiga bot masing-masing dikemudikan oleh seorang tekong dan dua awak-awak adalah warga tempatan berumur antara 30 hingga 68 tahun.

“Kesemua tekong dan awak-awak, bot serta benih kerang
yang dianggarkan bernilai RM80,820 tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana tiada nombor pendaftaran dan Seksyen 8 (b) Peraturan 8 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu tidak memiliki lesen mengambil benih kerang atau kerang dewasa.

Mohd Hashim berkata, kerang amat penting dalam ekonomi dan ia menjadi penanda aras bagi kepelbagaian biodiversiti dan kelestarian sumber perikanan yang terdapat di perairan kita.

Oleh yang demikian, katanya, stok kerang harus dijaga secara terurus, sistematik dan mampan agar sumbernya tidak pupus dari perairan negara kita.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button