DAP punca kekalahan teruk PH di Tanjung Piai?
KUALA LUMPUR – Parti sekutu dalam Pakatan Harapan iaitu DAP dikatakan antara menjadi punca kekalahan teruk calon parti itu Karmaine Saidi pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai semalam.
Bekas pegawai khas LIm Guan Eng, Amran Ahmad Nor mendakwa, terdapat beberapa faktor yang menunjukkan DAP menyumbang kepada kekalahan calon PH yang hanya mendapat 10,380 undi.
Menurut Amran, DAP gagal untuk menunaikan janji-janji yang mereka buat dalam manifesto PH pada PRU14.
“Dari UEC sehinggalah harga barang, hutang negara dan ekonomi, DAP menerusi menteri kewangan gagal untuk mengotakan janji-janji mereka untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.
“Rakyat juga jadi takut bila DAP menjadi ancaman kepada negara ini apabila ada wakil-wakil rakyatnya terpalit dengan isu militan LTTE dan sebaran ideologi komunis di beberapa sekolah menerusi komik yang menjadi suatu phobia dalam kalangan masyarakat di negara ini,”kata Amran.
Menurut beliau, rakyat juga muak dengan sikap kaki gaduh beberapa pemimpin DAP yang memaki hamun Perdana Menteri dari PPBM yang menurut Amran merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum.
Sikap pemimpin DAP itu menyebabkan ahli PPBM marah dan DAP dilihat seakan-akan ‘merestui’ tindakan wakil rakyatnya dengan tiada tindakan disiplin dikenakan ke atas pemimpin terbabit.
Pada pilihan raya kecil semalam calon BN Datuk Seri Wee Jeck Seng menang bergaya dengan memperoleh 25,466 undi dan meraih 15,086 undi majoriti menewaskan Karmaine yang merupakah ahli Bersatu dan tiga pencabar lain.- SM