Politik

DAP jangan biadab sangat

SETIAUSAHA Pemuda DAP Eric Teh Hoong Keat digesa untuk tidak bersikap biadap terhadap PKR.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Eric perlu lebih berhemah dalam teguran sekiranya tidak bersependapat dengan arahan pimpinan Pakatan Harapan.

Farhash Wafa Salvador berkata, cadangan Eric agar DAP mempertimbangkan untuk berpisah dengan PKR dan menyusun semula barisan pembangkang hanya mengundang perpecahan.

“Jika ini pemikiran yang wujud di dalam PH, maka apa gunanya meletakkan amanah dan kepercayaan kepada pemimpin?

“Belanjawan 2021 masih belum diluluskan dan usaha pembangkang belum dipatahkan lagi. Kita hanya mengambil langkah jangka masa panjang dan berharap rakyat memahami serta bersabar buat masa ini,” tegas Farhash Wafa Salvador.

Beliau berharap pemimpin PKR mahupun PH berdiri teguh bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kebajikan rakyat terjamin dan pada masa yang sama dapat mengembalikan mandat rakyat.

Semalam Eric Teh tampil memberikan kata dua kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan supaya memohon maaf mengenai tindakannya meminta Ketua Whip parti pembangkang agar tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021.

Eric Teh berkata, Presiden PKR itu perlu memohon maaf atas kesilapannya itu atau DAP harus memutuskan hubungan dengan parti tersebut.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat serta rakan sekutuya atas kesilapannya, jika tidak, DAP harus berpisah dengan PKR, membubarkan Pakatan Harapan (PH) dan menyusun semula barisan pembangkang di Malaysia,” tegas Eric Teh dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Eric yang menyifatkan insiden berkenaan sebagai saat yang paling memalukan dalam sejarah DAP dan bertegas bahawa kata-kata yang diuar-uarkan Pakatan Harapan tidak konsisten dengan perbuatan mereka.

Bagi Eric, Anwar bukan sahaja gagal mengembalikan semangat PH dalam Parlimen, malah menghancurkan kredibiliti parti bekas pemerintah itu.
“Sekiranya DSAI masih menegaskan bahawa penilaiannya adalah betul dan tepat, maka pemimpin pusat DAP harus berpisah dengan PKR, tidak lagi bersekutu dengan PKR,
“Biarlah Pakatan Harapan dibubarkan dan menjalinkan hubungan kerjasama yang paling minimum dengan parti-parti pembangkang yang lain,” tegas Eric.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button