Pilih Mahathir PM-9 sebagai jalan angkat Anwar jadi PM, kata Kit Siang
DAP dan Amanah tidak pernah mengabaikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memilih Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, memilih Dr. Mahathir adalah pilihan yang paling berkemungkinan untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri.
“Persoalan yang berlegar di dalam fikiran ramai orang sekarang adalah kenapa DAP dan Amanah memilih Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan bukannya Anwar Ibrahim. Mereka silap.
“DAP dan Amanah tidak pernah mengabaikan Anwar dengan memilih Mahathir, pilihan ini pilihan yang paling berkemungkinan untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri,” kata Kit Siang dalam blognya hari ini.
Beliau mengulas mengenai pertikaian dalam kalangan pemimpin PH mengenai calon PM bagi pakatan tersebut.
PKR sebelum ini menolak cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad mencalonkan semula dirinya sebagai Perdana Menteri bagi mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersama Ahli Parlimen PKR, beberapa hari lalu.
PKR kekal dengan pendirian konsensus dicapai PH untuk mencalonkan Ahli Parlimen Port Dickson sebagai calon perdana menteri.
Bagaimanapun DAP dan Amanah menyatakan keyakinan PH mampu menunggu enam bulan lagi untuk Anwar menjadi perdana menteri Malaysia ke-10.
Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, kedua-dua pemimpin itu menegaskan bahawa mereka konsisten menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri Malaysia sejak 1998 dan akan terus berbuat demikian.
“Kesilapan telahpun berlaku sepanjang 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dan kita tidak boleh mengulangi semula kesilapan-kesilapan ini jika kita berjaya mengembalikan semula mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Selesainya persoalan mengenai calon Perdana Menteri dan perihal peralihan kuasa di antara Mahathir sebagai Perdana Menteri kesembilan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kesepuluh, satu sistem untuk mencapai persetujuan berkenaan lantikan utama dalam pakatan haruslah dipersetujui,” kata Kit Siang.
Beliau berkata, Pakatan Harapan akan terus bersama sebagai satu unit politik yang bersatu teguh untuk menyatukan semua kumpulan politik dalam negara yang berkongsi aspirasi untuk menyelamatkan Malaysia dengan melaksanakan reformasi institusi dan membawa perubahan demokratik dalam Malaysia.-SM