Dalami bidang keusahawanan untuk manfaat sendiri dan masyarakat – Raja Muda Perlis
DALAMI bidang Keusahawanan. Selain memanfaatkan diri sendiri, seseorang graduan itu juga mampu menyumbang kepada masyarakat melalui sesi perkongsian ilmu.
Demikian titah baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Ke-5 Istiadat Konvokesyen 15 UniMAP di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada pagi tadi.
Di majlis tersebut seramai 370 orang graduan menerima penganugerahan
Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (Kepujian) dan Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Perniagaan Antarabangsa) daripada baginda termasuklah pasangan kembar Satiabama dan Satiawani a/p Nagayah.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang amat mesra rakyat turut meluangkan masa bertegur sapa dan berinteraksi dengan ibubapa yang datang dari jauh hadir mengikuti sesi konvokesyen melalui maya di lokasi yang lain atas sebab SOP di Dewan Kecemerlangan juga menitahkan ucapan tahniah kepada semua para graduan, dan harapan baginda supaya bawalah imej dan nama baik UniMAP walau di mana sahaja mereka berada.
Tuanku Raja Muda turut mengingatkan semua supaya perlu sentiasa bersedia dengan rapi agar mampu mendepani segala cabaran hidup yang mendatang, khususnya dalam era endemik Covid-19 ini.
Dalam pada itu, Naib Canselor, Prof Ts Dr Zaliman Sauli pula memaklumkan bahawa kesungguhan dalam melakukan sesuatu bukanlah satu-satunya faktor yang menjadi pendorong kejayaan seseorang, sebaliknya suntikan kata-kata pembakar semangat dan sokongan moral juga mampu menjadi inspirasi kepada semua. Begitu juga kepada graduan, pensyarah antara individu terpenting dalam memberi inspirasi bagi mencapai kejayaan mereka.
GALERI FOTO