MahkamahNasional

Culik, bunuh ahli perniagaan: 3 merengkok 35 tahun dalam penjara

MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan sabitan seorang bekas kerani dan dua lelaki atas tuduhan menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan yang mayatnya dicampak dari Jambatan Kedua Pulau Pinang, sembilan tahun lepas. Bagaimanapun, hukuman mati mereka ditukar kepada penjara 35 tahun setiap seorang.

Hakim Vazeer Alam Mydin Meera yang mengetuai panel tiga hakim menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap A Malarvili, 32; J Sunil Singh, 37; dan C Kavin Mukilan, 30, kerana membunuh Balbir Kaur.

Sunil yang juga bekas pekerja Balbir dan Kavin turut dijatuhi hukuman sebat sebanyak 12 kali memandangkan mereka lelaki berusia kurang 50 tahun.

Ketiga-tiga mereka dijatuhi hukuman 35 tahun lagi penjara kerana menculik untuk mendapatkan wang tebusan daripada keluarga Balbeer dengan Sunil dan Kavin dijatuhi hukuman tiga kali lagi sebatan, menjadikan jumlah sebatan 15 kali.

Malarvili tidak dikenakan hukuman sebat bagi kedua-dua kesalahan kerana undang-undang melarang hukuman sedemikian dijatuhkan ke atas pesalah wanita.

Memandangkan hukuman penjara akan dijalankan serentak, ketiga-tiga mereka akan menjalani hukuman 35 tahun mulai 15 Februari 2015.

Vazeer yang bersidang bersama Hakim Wong Kian Kheong dan Noorin Badaruddin berkata, Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan boleh dirayu ketika mensabitkan ketiga-tiga mereka atas tuduhan menculik dan membunuh.

Pada 27 Disember 2018, hakim perbicaraan Zulkifli Bakar menjatuhkan hukuman mati kepada mereka bertiga bagi kedua-dua kesalahan. Bagaimanapun mahkamah hari ini menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara seperti yang dirayu oleh peguam mereka.

Dalam penghakiman ringkasnya, Vazeer berkata, peguam mereka mengakui bahawa berlaku penculikan tetapi tiada keterangan mengenai tuntutan wang tebusan RM2 juta.

“Bagaimanapun dua panggilan telefon dibuat oleh seorang wanita dua jam selepas mangsa diculik. Hakim perbicaraan berpendapat, terdapat keterangan kukuh bahawa pemanggilnya ialah Malarvili,” katanya.

Vazeer berkata, hakim perbicaraan membuat keputusan yang tepat apabila memerintahkan ketiga-tiga mereka membela diri atas tuduhan membunuh, dan mereka tidak dinafikan perbicaraan yang adil.

“Mereka sangat faham kes pendakwaan terhadap mereka. Mereka sengaja menyebabkan kematian dengan menutup hidung dan mulut untuk melemaskan mangsa serta membuang mayatnya ke dalam laut,” katanya lagi.

Ketiga-tiga mereka didakwa dengan niat bersama menculik Balbir dari tapak pembinaan berhampiran Sunway Pyramid di Petaling Jaya, Selangor pada 13 Februari 2015.

Mereka turut didakwa membunuh Balbir pada kira-kira jam 3.55 pagi pada 14 Februari 2015.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Jaafar yang menggesa mahkamah mengekalkan hukuman mati bagi kedua-dua kesalahan itu berkata, pesalah mengumpan Balbir untuk pergi ke tapak pembinaan itu dengan alasan hendak membincangkan perniagaan sebelum memasukkannya ke dalam kereta dan membuang mayatnya ke dalam laut.

Malarvili dan Kavin diwakili Jasmine Cheong dan Affifuddin Ahmad Hafifi manakala Sunil diwakili Amer Hamzah Arshad, Chew Jee San, Kitson Foong dan Joshua Tay. – SUMBER FMT – SM

BACA Ahli perniagaan rangkaian klinik dibunuh, mayat dimasukkan ke dalam bagasi

BACA Kes bunuh ahli perniagaan bergelar Datuk Seri: Polis tahan 7 suspek

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button