Sekalipun marah, tak mungkin sampai membunuh bukan? Apatah lagi darah daging sendiri.
Terbaru, kes dera di Selayang telah mengakibatkan kematian tragis seorang kanak-kanak yang tidak bersalah.
Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun meninggal dunia 30 Disember yang lalu dipercayai didera nenek saudaranya sendiri.
Rentetan kisah ini adalah dari kanak-kanak tersebut yang tinggal bersama nenek saudaranya dan ibu saudaranya sejak tahun 2017 di Kampung Sungai Chinchin.
Semalam, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata, mangsa dipercayai diperlakukan sedemikian oleh suspek, yang juga warga Indonesia berusia 55 tahun dengan menyepak dan memijak sehingga pecah usus.
Mangsa pada awalnya ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu saudaranya pada jam 7 malam 30 Disember lepas, yang seterusnya menghubungi ambulans.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat kecederaan pada ususnya yang pecah dipercayai akibat didera.
Pemeriksaan lanjut turut menemui kesan parut lama di tubuh mangsa dipercayai dicucuh dengan ubat nyamuk yang dibakar serta kesan dirotan.
Perintah reman ke atas suspek berusia 55 tahun itu sepatutnya tamat pada hari ini namun polis memohon sambungan reman bagi menjalankan siasatan lanjut.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Selayang, Nik Mohd Fadli Nik Azlan sehingga 13 Januari depan.
Enam individu lain berusia 25 hingga 55 tahun yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita turut ditahan, termasuk suspek utama bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.