Cubaan seludup minyak masak, petrol gagal
DUA lelaki yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri ditahan selepas mereka cuba menyeludup minyak masak dan petrol ke Filipina.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Superintenden Mohd Yacob Murad berkata, kedua-dua mereka ditahan ketika pasukannya sedang menjalankan rondaan Tugas Op Benteng Covid, semalam.
“Ketika rondaa dilakukan kira-kira pukul 5.30 pagi di perairan Pulau Bohayan, kita telah ternampak sebuah bot jongkong bergerak menuju ke perairan Filipina.
“Bot yang dinaiki dua lelaki berumur 17 dan 26 tahun itu kemudian cuba melarikan diri namun berjaya kita pintas,” katanya.
BACA> Lelaki ditahan selepas samun pemandu Grab
Menurut Mohd Yaacob, pihaknya menemukan 19 gelen tong berisi minyak petrol 25 liter dan 10 bungkus plastik minyak seberat 10 kilogram di dalam bos tersebut.
Jelasnya, kesemua barangan itu dipercayai ingin diseludup masuk ke Filipina.
“Pemeriksaan terhadap dua lelaki itu juga gagal menemukan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.