Nasional

Cubaan seludup air zam zam bernilai RM1.3 juta

TIGA kontena yang diikrarkan membawa muatan kurma rupa-rupanya berisi 83,000 liter air zam zam yang cuba diseludup masuk ke dalam negara  ini dengan anggaran nilai RM1.3 juta.

Air zam zam diklasifikasi sebagai dagangan terlarang mengikut Butiran 74, Jadual Ketiga/Bahagian I, Perintah Kastam(Larangan Mengenai Import)2017.

Cubaan untuk mengaut keuntungan tinggi itu bagaimanapun berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam operasi di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor pada 4 Jun lalu.

Menurut laporan Berita Harian, Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf, aktiviti itu dikesan Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) melakukan pemeriksaan ke atas tiga kontena pada 4 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas tiga buah kontena berkenaan mendapati barang dagangan yang dibawa adalah air zam zam bagaimanapun ia diikrarkan membawa muatan buah kurma dari negara Asia Barat.

“Kuantiti rampasan dianggarkan sebanyak 83,000 liter dan dianggarkan bernilai RM1.3 Juta manakala anggaran jumlah duti serta cukai adalah sebanyak RM343,000,” katanya

Beliau berkata, pengimport dan ejen penghantaran yang terbabit dalam pengimportan air zam zam berkenaan sedang disiasat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g), Akta Kastam 1967. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button