Luar Negara

Cristiano Ronaldo, Georgina berdegil bakal disiasat polis Itali

Pasangan itu didakwa melanggar perintah berkurung pergi bercuti

CRISTIANO Ronaldo bakal berdepan siasatan polis berhubung kemungkinan dia melanggar arahan perintah berkurung selepas percutian romantik bersama Georgina Rodriguez.

Polis khuatir pasangan itu melanggar peraturan perintah berkurung oleh Kerajaan Itali apabila didapati pergi bercuti ke Alps dan bermalam di sana.

Pihak berkuasa Itali telah menetapkan lokasi tertentu yang dilarang melakukan perjalanan merentas wilayah dengan bintang Juventus dan pasangannya telah meninggalkan Turin untuk bermalam di Valle d’Aosta.

Lokasi tersebut merupakan sebuah resort ski yang dianggarkan mengambil masa perjalanan selama dua jam dari Turin dengan menaiki kereta.

Pada malam Selasa (Rabu waktu Malaysia), Rodriguez meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-27 bersama Ronaldo di sebuah hotel lima bintang Le Massif.

Pasangan kekasih itu telah menikmati makan malam bersama dan dilaporkan bermalam di hotel itu sebelum menaiki kereta salji mengelilingi Alpine bagi melihat pemandangan di Val Veny.

Percutian itu telah dikongsi ke dalam media sosial dengan beberapa keping gambar musim sejuk untuk tatapan jutaan peminat mereka.

Mereka pulang ke Turin pada keesokkan petang sebelum perlawanan Coppa Italia yang berkesudahan Juventus menang ke atas SPAL.

Ronaldo diketepikan daripada perlawanan tersebut oleh pengurus Andrea Pirlo bagi memberi laluan kepada pemain itu berehat.

Menurut laporan La Stampa, polis berkunjung ke hotel tersebut pada Khamis dan mendapati hotel itu ditutup.

Beberapa perniagaan di destinasi percutian telah ditutup kerana kekurangan pengunjung sewaktu pandemik coronavirus.

Difahamkan, pihak berkuasa Itali tidak dapat menghukum Ronaldo ataupun Rodriguez dengan denda 400 euro (RM1,961) kerana melanggar perintah berkurung.

Denda perlu diserahkan pada waktu itu juga ketika peraturan tersebut dilanggar selepas polis menyoal siasat mengapa mereka berada di kawasan berkenaan.

Bintang antarabangsa Portugal itu boleh sahaja mendakwa bahawa dia telah melakukan perjalanan yang sah, dengan beberapa aktiviti dibenarkan oleh undang-undang.

Peraturan Covid Itali menggariskan: “Melakukan perjalanan merentas wilayah di Itali adalah dilarang sehingga 15 Februari melainkan di atas alasan kerja, kesihatan atau satu keperluan yang wajib dilakukan.”

Selain itu, hotel juga dari segi undang-undang tidak dibenarkan mendedahkan alasan disebalik tindakan Ronaldo bermalam di situ.

Wartawan BeIN Sports, Tancredi Palmeri turut melaporkan bahawa polis sedang menyiasat tentang perkara tersebut.

Khabar angin tersebar bahawa pasangan itu telahpun bertunang walaupun masih belum mengumumkan perancangan untuk berkahwin.

Pemain berusia 35 tahun itu memiliki empat orang anak dengan Rodriguez melahirkan puteri bongsu mereka Alana Martina pada 2017. – The Sun – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button