Nasional

Covid: KDN arah agensi di bawahnya ambil tindakan tegas

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua Jabatan dan Agensi penguatkuasaan di bawahnya untuk meningkatkan bilangan operasi pemantauan berikutan keputusan Kerajaan untuk memperketatkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah-Perintah Kawalan Pergerakan yang ditetapkan.

Agensi terbabit telah diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar SOP yang telah diwartakan.

KDN dalam satu kenyataan berkata, semenjak PKP dilaksanakan dan sehingga kini seramai 100,980 orang anggota dari pelbagai Jabatan dan Agensi KDN telah terlibat dalam penugasan COVID-19.

Katanya, selain daripada menambahkan bilangan kekuatan anggota serta operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di lapangan, pemantauan juga akan dijalankan di seluruh negara.

Ini termasuk di premis perniagaan dan industri, bangunan pejabat dan kawasan kediaman serta terminal dan stesen pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail ataupun melalui perkhidmatan e-hailing.


“Kementerian menyeru semua pihak agar terus mematuhi SOP yang telah diputuskan oleh Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memberikan kerjasama jitu terhadap segala usaha dan langkah-langkah yang diambil Kerajaan bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman pandemik COVID-19,” katanya.

Agensi di bawah KDN meliputi Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Jabatan Sukarelawan (RELA), Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Agensi Anti Dadah Kebangsaa dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).-SM

(Visited 43 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button