COVID-19: Umi, Bie rindu… sangat-sangat rindu umi…
“Apa yang terjadi bukan kami yang cari.”
Begitu luahan hati Qalbie Ghani yang dijangkiti virus maut itu bersama-sama keluarganya. Dia dan beberapa ahli keluarganya termasuk ayah dan ibunya dimasukkan ke dalam wad selepas positif COVID-19.
Ibunya bertarung nyawa melawan virus ganas yang menyerang tanpa belas kasihan.
Pada pemulaan dijangkiti COVID-19, dia sekeluarga dilihat menakutkan oleh segelintir orang kampung.
Qalbie Ghani dalam catatan di Facebook menceritakan bagaimana dia sekeluarga dijangkiti COVID-19 dan mencatatkan pengalaman selama lebih dua minggu di dalam wad berjuang menentang virus maut tersebut.
15 hari di dalam wad sebagai pesakit covid-19
Assalamualaikum. Salam sejahtera. Mungkin ramai yang terkejut dengan tajuk di atas. Tidak ramai yang tahu. Saya hanya beritahu dekat ahli keluarga dan rakan-rakan rapat sahaja. Bukan apa, emosi sedikit terganggu dua minggu kebelakangan ni.
Jika yang tanya, ‘macam mana boleh kena COVID-19’. Ini saya bagitau secara terperinci. Awal bulan Mac ada beberapa orang jemaah tabligh Thailand yg berkunjung ke surau berdekatan rumah.
Abah memang sering ke surau tersebut. Disebabkan abah pun dah mula menyertai tabligh, maka abah suka bercampur dengan jemaah-jemaah tabligh yg datang ke surau. Abah pun beberapa kali membantu mereka sepanjang mereka di sini.
Hari terakhir jemaah di surau abah telah menumpangkan mereka dan menghantar mereka ke surau berikutnya iaitu di Wakaf Che Yeh.
Dua hari selepas itu abah sakit-sakit tekak. Keesokan harinya abah demam dan mula hilang selera makan. Pada masa tu, sudah kecoh dalam media tentang jemaah tabligh Brunei yang positif COVID-19 setelah pulang dari Sri Petaling.
Malam tu aku terlintas untuk tanya abah. Dan abah akui ada salah seorang dari jemaah Thailand yang kurang sihat. Dan sememangnya mereka baru pulang dari Sri Petaling. Ummi berkeras menyuruh abah pergi ke klinik.
Jumaat. Abah pergi ke Klinik Kesihatan Kota Bharu (KKB). Doktor beritahu untuk buat saringan COVID-19 tidak ada di KKB memandangkan hari Jumaat. Doktor meminta abah hadir kembali pada hari Ahad dan abah akan dibawa ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa untuk saringan.
Petang Jumaat umi pula mula demam. Aku dan adik, Yus sudah risau. Aku minta Yus bawak umi ke KKB esok hari. Sabtu. Umi ke KKB bersama Yus. Doktor cuma bekalkan ubat-ubat demam, selesema dan batuk. Umi ambil ubat ikut turutan. Begitu juga dengan abah.
Ahad. Abang Sham (abg ipar) bawa abah ke klinik. Umi dah sedikit baik dari demam. Tengah hari selepas balik dari klinik setelah buat ujian saringan COVID abah mula asingkan diri daripada kami. Abah banyak menghabiskan masa di rumah sebelah (rumah yang kami jadikan homestay). Isnin. Umi dah tak demam. Abah makin hilang selera makan.
Selasa. Aku berada di luar rumah. Mendapat panggilan daripada Yus mengatakan abah disahkan positif COVID-19. Yus minta aku balik segera sebab kami sekeluarga perlu menjalani saringan COVID memandangkan kami adalah kontak rapat kepada abah.
Di bawah adalah catatan jurnal dari hari pertama sehingga kami discaj dari hospital. Pada awal abah disahkan positif COVID berita tentangnya viral satu kampung tak sampai dua jam.
Kami sekeluarga yang sedang menunggu giliran untuk ujian saringan pada waktu tu sudah rasa tertekan. Orang kampung seolah-olah memandang hina kepada kami sekeluarga.
Sedangkan apa yang terjadi bukannya kami yang cari. Pada masa inilah baru dapat tahu hati masing-masing, yang mana ikhlas dan yang mana hanya pura-pura.
Selasa 17.03.20
Abah positif COVID-19. Ambulans datang ambil abah pukul 11 pagi. Petang ujian saringan sekeluarga di Klinik Kesihatan Perol.
Hari Pertama: Rabu 18.03.20
5.00 petang – Aku, Umi, Yus dan Kimi disahkan positif COVID-19. Pukul 8.00 malam dimasukkan ke dalam wab di Hospital Tumpat. Malam – ambik darah
Hari kedua: Khamis 19.03.20.
Ambik darah. Umi guna oksigen sebab pernafasan tak bagus. Doktor mahu hantar umi ke HRPZ Kota Bharu. Pukul 2.30 petag umi dipindahkan ke HRPZ. Sempat berikan kata-kata semangat untuk umi. Malam mula ambik ubat. Dua biji sekali telan, ubat ni ambil dua kali sehari. Cuba hubungi telefon umi tapi tak dijawab.
Hari ketiga: Jumaat 20.03.20.
Tak ambik darah . Masih cuba hubungi umi, masih tak dijawab. Petang dapat berita dari umi. Rupa-rupanya umi tidak dihantar ke HRPZ kerana wad penuh. Umi dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK). Doktor hubungi abah mengatakan umi dalam keadaan kritikal dan doktor mahu beri pernafasan menggunakan mesin.
Hari keempat. Sabtu 21.03.20.
Ambik darah. Keadaan umi masih sama.
Hari kelima: Ahad 22.03.20.
Tak ambik darah. Dapat berita umi stabil. Tiga hari sebelum ini doktor tiarapkan umi utk cantikan pernafasan dan paru-paru. Hari ni sudah diterlentangkan. Alhamdulillah.
Hari keenam: Isnin 23.03.20.
Tak ambik darah. Keadaan umi stabil. Masih intubed.
Hari ketujuh: Selasa 24.03.20.
Tak ambik darah. Genap seminggu
Hari kelapan: Rabu 25.03.20.
Ambik darah. Keadaan umi masih sama cuma ada sedikit jangkitan kuman pada paru-paru.
Hari kesembilan. Khamis 26.03.20.
Tak ambik darah. Keadaan umi masih sama. Doktor kembali tiarapkan umi sebab paru-paru tak cantik kalau terlentangkan.
Hari kesepuluh: Jumaat 27.03.20.
Keadaan umi stabil. Doktor akan cuba terlentangkan umi esok. Buah pinggang umi ada masalah sikit. Mugkin esok start dialisis. Seorang jururawat shif petang pengsan ketika memeriksa tekanan darah pesakit. Kepenatan dan kepanasan dalam sut khas. Allahu Akbar pengorbanan jururawat menjaga kami.
Hari kesebelas: Sabtu 28.03.20.
Tak ambik darah. Tidak ada x-ray. Doktor sudah terlentangkan kembali umi. Nampak okay. Darah umi ada sedikit jangkitan. Doktor tambah satu jenis lagi ubat untuk jantung. Buah pinggang akan didialisis, kalau tak petang ni, esok.
Doktor kata sekarang terpulang kepada umi. Kalau umi kuat lawan, virus tu dapat dilawan. Ya Allah, kuatkan umi untuk terus lawan virus ganas ni. Izinkan kami untuk terus menjaga umi.
Hari kedua belas. Ahad 29.03.20.
Ambik darah. Swab test pertama dalam wad. X-ray. Ujian saringan kedua untuk keluarga (kak long, abg sham, epu, anak-anak saudara) di KK Perol. Semoga semua keputusan negatif. Amin.
Petang Kak Long dapat panggilan dari HKK. Keadaan ummi semakin okay. Penggunaan oksigen 40 peratus. Buah pinggang dah didialisis petang semalam. Alhamdulillah. Ya Allah selamatkanlah umi. Kurniakanlah kekuatan kepada umi untuk lawan virus ini.
Hari ketiga belas: Isnin 30.03.20.
Pagi doktor telefon untuk tanya tahap kesihatan. Secara keseluruhan semua makin baik. Tiada selsema, tiada demam, tiada batuk, tiada cirit birit, makan berselera. Keputusan swab test belum keluar. Kalau result negatif, insya-Allah boleh discharged. Aamin. Aamin. Aamin.
Tengah hari. Adik Kimi dah buat swab test. Peyus dah x-ray ptg. Peyus buat swab test.
Pada tengah hari jantung kami sekeluarga umpama berhenti berdenyut seketika bila dapat panggilan dari Kak Long (sambil menangis) beritahu dia dapat panggilan dari doktor HKK minta waris umi ke sana segera sebab pagi ini result darah umi tak cantik dan kaki umi sejuk. Lepas Zohor abah, Kak Long dan Epu ke sana.
Sepanjang waktu menunggu berita, dunia kami rasa kosong. Doa, zikir dan selawat tak henti dari mulut. (Kedua-dua kami uzur, maka tak dapat nak solat hajat).
Kami paksa diri telan nasi sebab ingatkan pesan abah, jangan biarkan perut kosong. Tambahan pulak kami bersemangat untuk dapat discharged memandangkan hari ni dh hari ke-13 kami dalam wad.
Dlm pukul 3 petang dapat Whatsapp dari Kak Long. Umi kembali stabil. Syukur. Syukur. Syukur. Alhamdulillah. Allah Maha Mendengar, Maha Pengasih, Maha Penyayang. Doa, zikir dan selawat tak putus disedekahkan utk umi. Semoga umi terus kuat lawan virus-virus ini dan kembali pulih untuk balik jumpa kami insan-insan yang menyayangi umi.
Hari keempat belas: Selasa 31.03.20.
Pagi doktor telefon beritahu result darah ok, result x-ray paru-paru pun dah cantik tapi doktor pakar nak result yang lebih cantik. Sejak petang semalam dah tambah satu jenis lagi ubat. Tunggu result swab test utk selanjutnya. Keadaan umi tiada perubahan. Stabil.
Malam Kak Long telefon beritahu lewat petang doktor HKK telefon update keadaan ummi. Hari ni umi bergantung sepenuhnya pada mesin. Tiada respon bila doktor check mata. Doktor minta famili bersedia dengan sebarang kemungkinan. Ya Allah, kuatkan semangat kami sekeluarga untuk menerimanya. Malam dah tak boleh tidur.
Hari kelima belas: Rabu 01.04.20.
Ok. Dah start stress.
9.50 pagi, doktor telefon beritahu nak ambik darah dan x-ray pagi ni. Dah merayu dekat doktor nak balik. Doktor kata ambik darah dan x-ray dulu then tengok kata pakar.
Ya Allah! Tak tau nak gambar perasaan ni. Air mata dah tak berhenti mengalir. Doa dan ingatan pada umi tak putus-putus. Doa jugak untuk kekuatan abah. Abah tunggu… anak-anak abah akan balik!!
3.00 petang – adik Kimi discharged. Alhamdulillah
4.30 petang – Aku dan adik, Fairuz akhirnya discharge. Alhamdulillah. Syukur ya Allah
Khamis 02.04.2020.
Tengahari dapat berita dari doktor HKK mengatakan keadaan umi tiada perubahan. CT scan yg dilakukan ke atas umi menunjukkan brain death. Lampu disuluh ke mata umi pun tiada tindak balas. Ya Allah! Beratnya ujianMu ini.
Abah pesan, kami perlu reda dan bersedia dengan apa yang bakal terjadi. Umi hak Allah, Allah berhak ke atas hambaNya. Namun doa tak pernah putus utk umi.
Untuk sesiapa yg mengenali umi saya, maafkan beliau jika umi ada buat salah menyinggung perasaan sesiapa tanpa beliau sedari. Sudilah kiranya anda titipkan doa buat umi, Azizah bt Minah.
Maaf andai penulisan ini terlampau panjang, banyak kesalahan tatabahasa atau ejaannya. Maaf andai selepas ini ada yang menghubungi saya secara personal tidak dibalas kerana emosi kami belum stabil sepenuhnya.
Saya sertakan sekali beberapa gambar suasana dlm wad. Dan gambar terakhir umi sebelum dibawa ke HKK. Umi, Bie rindu……sangat-sangat rindu umi.
Jumaat 03.04.20
Tengah malam tadi, pihak HKK telefon dan beritahu keadaan umi makin tenat. Pihak HKK benarkan keluarga kami untuk ke hospital pada bila-bila masa. Tapi abah putuskan untuk pergi pagi ni memandangkan sekatan perjalanan yang ketat pada waktu malam dan cucu-cucu abah semua sudah tidur.
Doktor juga beritahu umi negatif COVID pada ujian pertama swab test. Kami solat hajat dan membaca Yasin untuk umi.
Setelah selesai solat Subuh berjemaah dan bacaan Yassin, kami diberitakan oleh pihak hospital yang keadaan umi semakin tenat. Doktor minta kami semua ke hospital. Abah minta sedara mara membuat persiapan.
Dalam perjalanan dua sekatan jalan kami tempuhi tapi pihak polis dan tentera amat bertolak ansur. Setelah mendengar penjelasan kami, mereka lepaskan perjalanan kami. Alhamdulillah…
Doktor telefon mengatakan ummi masih ada nadi. Dan umi sah negatif COVID setelah dua kali swab test dilakukan. Alhamdulillah.
Kami di HKK saat ini. Kadar tekanan darah umi makin menurun. Doktor kata pada bila-bila masa kami perlu bersedia. Kami reda. Seandainya umi pergi, bukanlah sebagai pesakit COVID dan boleh diuruskan seperti jenazah biasa dan ahli keluarga boleh lihat dan cium jenazah.
Kami masih menunggu sebarang kemungkinan. Mohon titipkan doa buat umi. Terima kasih ahli keluarga, sahabat-sahabat dan netizen yg begitu prihatin. Tak terbalas jasa dan budi semua.-SM