Luar Negara

COVID-19: Sepanyol lanjut perintah darurat hingga 24 Mei

DEMI membendung penularan wabak COVID-19 daripada terus merebak, Parlimen Sepanyol semalam mengundi untuk melanjutkan darurat sehingga 24 Mei ini,  lapor agensi berita Anadolu.

Memetik laporan BERNAMA hari ini, daurat pertama kali dikuat kuasa di negara itu bermula pada 14 Mac lalu.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata, darurat satu-satunya cara untuk memastikan sistem kesihatan dan ekonomi berfungsi. Usul itu diluluskan di Parlimen dengan 178 menyokong, 75 membantah dan 97 berkecuali.

Buat pertama kali, sejak krisis COVID-19 bermula, parti pembangkang utama Sepanyol, Parti Popular tidak menyokong langkah itu (lanjutan tempoh darurat) dengan menyaksikan 88 anggota parlimen mengundi untuk berkecuali.

“Hanya Hungary, Poland dan Sepanyol yang mengisytiharkan darurat tanpa tarikh yang jelas,” kata pemimpin parti itu, Pablo Casado.

“Ia boleh diterima pada awalnya tetapi ia tidak boleh diteruskan selama-lamanya,” ujarnya.

Sepanyol mengesahkan 220,325 kes COVID-19 dengan 25,857 kematian. Bilangan kematian dan jangkitan menurun dengan ketara walaupun 857 orang lagi dilaporkan dimasukkan ke hospital semalam (Rabu).

Sepanyol kini berada dalam fasa pertama daripada empat fasa, menyaksikan negara tersebut secara beransur-ansur melonggarkan sekatan pergerakan yang antara paling ketat di dunia.

Sementara itu, Thailand merekodkan satu kes baharu COVID-19 dan satu kematian melibatkan seorang pengurus hotel di wilayah selatan Phang-nga, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 2,989 dengan 55 kematian sejak penularan wabak itu Januari lepas.

Lelaki warga Australia berumur 69 tahun itu mengalami jangkitan paru-paru dan komplikasi buah pinggang serta disahkan meninggal dunia semalam.

Sementara itu, kes baharu itu melibatkan seorang wanita yang pulang dari Rusia pada 3 Mei lalu.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Taweesilp Wissanuyothin berkata, seramai 12,847 warga Thailand yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin selama 14 hari di fasiliti negara itu dari 21 April sehingga semalam.

“Seramai 3,921 telah selesai menjalani kuarantin dan pulang ke rumah manakala 85 individu disahkan positif COVID-19,” katanya semasa taklimat harian COVID-19 hari ini.

Setakat ini, seramai 173 pesakit sedang dirawat di hospital dan 2,761 individu telah discaj dan pulang ke rumah.

Sementara itu, Taweesilp berkata, Jabatan Sains Perubatan di Bangkok mengesahkan 40 kes yang disyaki dijangkiti di wilayah selatan Yala pada Isnin, negatif COVID-19.

Pada Isnin, Gabenor Yala Chaiyasit Panitpong berkata, 40 kes baharu dikesan di empat daerah di Yala iaitu Bannang Sata, Jaha, Raman dan Mueng Yala.

Bagaimanapun, sampel yang diambil  untuk ujian kedua pada hari berikutnya didapati negatif. Ujian ketiga dijalankan Jabatan Sains Perubatan di Bangkok untuk pengesahan.

Sementara itu, Gabenor Pattani, Kraisorn Visitwong berkata, pihak berkuasa kesihatan sedang mengesan kes COVID-19 di kampung wilayah selatan Pattani berikutan 22 penduduk kampung dijangkiti virus itu.

“Sejumlah 1,500 penduduk kampung dari To Chood akan menjalani ujian COVID-19,” katanya.

Setakat ini, Pattani merekodkan 79 kes positif COVID-19. – BERNAMA-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button