Rencana

Covid-19: Perubahan iklim boleh wujudkan banyak virus bahaya

SEKITAR 75 peratus penyakit berjangkit baharu adalah bersifat zoonotik iaitu pemindahan virus daripada haiwan vertebrat kepada manusia termasuk Covid-19.

Beberapa pakar juga percaya perubahan iklim mungkin mendekatkan lagi manusia dengan haiwan sekali gus menyebabkan penyebaran virus berbahaya.

Penasihat Perubahan Iklim dan Kelestarian, Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS), Dr Renard Siew misalnya memberi contoh bagaimana perubahan iklim mempengaruhi pandemik mendatang termasuk kitaran hidup nyamuk akibat iklim yang lebih panas dan pencairan permafrost.

“Ada teori yang dikemukakan oleh para ilmuan bahawa wujud bakteria dan virus yang terperangkap dalam lapisan ais dan permafrost sejak berabad lama.

“Dan ekoran keadaan cuaca yang lebih panas dan glasier yang makin cair ada kemungkinan virus tersebut akan muncul kembali dan ini adalah senario yang sangat menakutkan kerana kita tidak tahu banyak tentang virus-virus ini yang sudah lama tidak aktif,”kata Dr. Renard.

Justeru beliau berpendapat, pandemik koronavirus Cobvid-19 perlu dilihat sebagai satu darurat kesihatan bumi bagi mengatasi punca masalah sebenar iaitu kerosakan kepada alam sekitar.

Jelasnya, ini penting kerana jika isu Covid-19 tidak ditangani dengan betul masyarakat hanya akan melihatnya dari perspektif penjagaan kesihatan.

“Ini bermakna tindakan yang diambil hanyalah bagi menangani masalah terdekat seperti memastikan PPE mencukupi, sekuriti makanan terjamin dan penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi wabak tersebut.

“Mereka tidak melangkah lebih jauh untuk mengkaji punca sebenar COVID-19 dari segi penebangan hutan dan perdagangan hidupan liar. Saya rasa cukup penting untuk melihat ke arah itu,” kata Dr. Renard dalam webinar mengenai Perubahan Iklim, Covid-19 dan Pandemik Mendatang.

Webrina tersebut anjuran Science Media Centre (SMC) Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Klima Action Malaysia (KAMY).

Barisan panel termasuk Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar), Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr. Sandie Choong dan Pengerusi Klima Action Malaysia (KAMY) Ili Nadiah Dzulfakar.  Sementara pengasas bersama SMC Malaysia, Tan Su Lin menjadi moderator webrina tersebut.

Menurut Dr Sandie yang merupakan pakar dalam perubatan hidupan liar, sejarah telah menunjukkan bahawa bahawa kesan manusia terhadap alam sekitar meningkatkan lagi risiko pandemik seperti COVID-19.

“Sebagai contoh, dalam kes wabak virus Nipah, melalui kajian epidemiologi yang mendalam, kami mendapati bahawa punca kelawar buah tertarik ke kebun buah berhampiran adalah ekoran musim kering dan panas yang berpanjangan serta kebakaran hutan yang berlaku ketika itu sehingga menyebabkan haiwan itu hilang habitat dan sumber makanan.”

“Begitu juga bagi AIDS, virus itu berasal dari primat bukan manusia, terutamanya di beberapa negara yang mengamalkan pemakanan daging haiwan liar.

“Binatang seperti chimpanzi ditangkap dan disembelih, sekaligus mendedahkan manusia kepada daging mentah dan organ-organ haiwan berkenaan. Apabila manusia mempunyai kontak dengan haiwan secara tidak normal, ia akan meningkatkan risiko jangkitan penyakit,” kata Dr. Sandie.

Justeru, beliau tidak terkejut melihat sejarah berulang dengan wabak COVID-19. Jelas beliau, hidupan liar masih terus dijual di pasar basah seperti di negara China.

Masyarakatnya masih menjual pelbagai spesies haiwan dan cukup membimbangkan kerana ia merupakan senario yang sama bagaimana SARS berlaku.

Sementara itu, Ili Nadiah berkata, masyarakat orang asli yang paling teruk terjejas akibat perubahan iklim juga tidak terlepas dari ancaman COVID-19.

Wabak tersebut telah mempengaruhi Orang Asli dengan cara yang belum pernah dilihat sebelum ini.

“Kerana sebilangan penduduk orang asli sudah ada kontak dengan dunia luar. Ada di antara mereka telah kehilangan tanah pusaka dan kini bergantung kepada ekonomi moden.”

“Namun keadaan lebih buruk bagi mereka kerana kekurangan pendidikan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti. Ini boleh memperburukkan keadaan kerana apa sahaja penularan wabak seperti penyakit campak umpamanya boleh melenyapkan seluruh komuniti,” kata Ili Nadiah.

Sambil menambah bahawa tahap kesedaran alam sekitar dan literasi iklim di Malaysia masih rendah, Nadiah bersetuju bahawa kesan perubahan iklim perlu disampaikan kepada umum seperti pandemik Covid-19.

“Kebanyakan wacana perubahan iklim di Malaysia melibatkan naratif penduduk bandar dan kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.

“Kami ingin melakukan lebih banyak lagi hebahan dalam bahasa Malaysia untuk mendekati masyarakat terutama penduduk luar bandar. Pendekatan segera termasuk memasukkan elemen manusia bagi menjelaskan krisis perubahan iklim juga penting,” kata Ili Nadiah.

Tontoni webinar penuh di YouTube Webrina – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button