Nasional

Riza Aziz mungkin dipanggil sebagai saksi perbicaraan kes 1MDB Najib

SELEPAS  dilepas tanpa dibebaskan baru-baru ini, anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz, mungkin dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri itu yang membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa Riza telah menyatakan kesediaannya untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwaan dalam kes itu.

“Susulan itu, kami mungkin perlu menyemak semula senarai saksi kami,” katanya semasa perbicaraan Najib bersambung semula hari ini.

Riza, 43, yang sebelum ini berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan US$248 juta (RM1.25 bilion) dikaitkan dengan 1MDB, telah dilepas tanpa dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Mei.

Pendakwaan telah membuat permohonan itu selepas mencapai satu persetujuan dengan tertuduh yang menyaksikan kerajaan persekutuan akan mendapat semula wang berjumlah jutaan ringgit.

Pembebasan itu adalah bersyarat dan pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan terhadap Riza jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan tersebut.

Di Mahkamah Tinggi lain, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan kerajaan untuk melucuthakkan wang tunai berjumlah hampir RM600,000 milik Riza yang dirampas polis dua tahun lepas.

Mohamed Zaini membuat keputusan itu semasa pengurusan kes permohonan pelucuthakan yang dikemukakan kerajaan berhubung rampasan beratus-ratus barangan dan wang tunai daripada Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka serta 13 lagi yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.

Beliau membuat perintah itu selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin mengenai penyelesaian yang dicapai antara pendakwaan dengan Riza bagi membolehkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan.

Ini adalah berkaitan persetujuan Riza untuk melucuthakkan wang yang dirampas oleh kerajaan Malaysia kepada kerajaan Malaysia.

Wang yang dirujuk ialah RM537,000; Pound Sterling 2,700 dan Rupee Sri Lanka 2,870,000 yang dirampas dari kediaman yang dihuni Riza, Najib serta Rosmah pada 17 Mei 2018. – BERNAMA

Pada 14 Mei lalu, Riza Shahriz dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen daripada pertuduhan pengubahan wang haram US$248 juta (RM1.25 bilion), didakwa diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan untuk DNAA  susulan beberapa representasi difailkan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya.

“Mahkamah memutuskan DNAA untuk tertuduh. Wang jaminan RM1 juta akan dikembalikan kepada dua penjamin,” kata hakim.

Terdahulu, bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan untuk mengendalikan kes itu Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan mahkamah bahawa  sejak pertuduhan dikemukakan terhadap tertuduh, dia telah mengemukakan beberapa representasi menerusi peguam belanya kepada pihak-pihak relevan.

Katanya representasi berkenaan telah dipertimbangkan dengan teliti  oleh pihak berkenaan dan keputusan telah dibuat seperti berikut:

“Satu persetujuan telah dicapai antara pihak pendakwaan dengan tertuduh di bawah terma-terma bahawa Kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang membabitkan beberapa juta ringgit.

“Jumlah wang itu merujuk secara langsung kepada perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan dalam kes ini. Tertuduh sepanjang proses ini telah menerima representasi perundangan yang mencukupi dan kompeten.

“Hasil daripada persetujuan yang dicapai, dengan itu pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh tidak akan diteruskan buat masa ini sementara menunggu persetujuan itu dilaksanakan sepenuhnya.

“Pihak pendakwaan dengan persetujuan tertuduh kini dengan hormatnya memohon Mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh,’ katanya. –

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button