Nasional

Covid-19: Kedah beralih ke fasa dua hujung Oktober

Negeri Kedah berkemungkinan akan beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekitar penghujung Oktober atau awal November.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, peralihan terbabit akan bergantung pada kadar vaksinasi rakyat di negeri itu.

Menurut beliau, setakat ini, Kedah mencatatkan kadar lebih 40 peratus bagi dos pertama pemberian vaksin COVID-19 dan kira-kira 20 peratus bagi dos kedua.

Dr Hayati berkata, Langkawi akan menjadi daerah pertama di Kedah yang bakal mencapai imunisasi berkelompok iaitu sebelum bulan September memandangkan pulau peranginan itu berada di dalam projek rintis gelembung hijau pelancongan.

Penilaian menggunakan kriteria terbaharu iaitu kadar vaksinasi akan membantu mempercepatkan negeri Kedah beralih dari fasa ke fasa

“Dengan kriteria terbaharu (yang dinyatakan) untuk beralih fasa (dari pertama kepada kedua) sebenarnya nilai ambang (pada awalnya) mengambil kira katil di ICU, tetapi kita nampak katil di ICU (akan) melambatkan (peralihan terbabit).

“(Untuk masa depan) mereka akan menggunakan kadar vaksinasi, sebab itu kriteria ini akan diubah… tidak akan digunakan katil ICU tetapi bertukar kepada (bilangan pesakit) kategori 3,4, dan 5.

“Kita mengharapkan jika imunisasi dapat dilonjakkan pada kadar yang tinggi mungkin bulan 10 (Oktober) (Kedah akan beralih ke Fasa 2 PPN), sebab kalau di (Pulau) Langkawi (imuniti berkelompok dicapai pada) bulan September, (seluruh) Kedah mungkin bulan Oktober. Harapan kita kepada rakyat supaya bila dapat panggilan vaksin jangan lengahkan lagi,” kata Dr Hayati.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) Daerah Pokok Sena di Pusat Komuniti Desa KEDA Kampung Bukit, pada Khamis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button