Nasional

COVID-19: Kabin krew rugi 70% pendapatan

MEMILIH kerjaya terbang tinggi di awan biru bukan disebabkan oleh glamor atau pendapatan asas yang tinggi. Ini kerana kabin krew atau anak kapal penerbangan dibayar elaun yang tinggi mengikut destinasi tugasan.

Apabila menularnya wabak COVID-19, pendapatan anak-anak kapal turut terjejas. Mereka tidak boleh ‘terbang’ dan terpaksa duduk di rumah.

Terimalah hakikat bahawa pramugari dan pramugara turut menerima tempias besar susulan pandemik COVID-19 apabila mereka hanya menerima 30 peratus sahaja daripada pendapatan bulanan mereka.

Jelas Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Penerbangan Malaysia (NUFAM), Ismail Nasarudin memberitahu Astro Awani, ini kerana 70 peratus pendapatan anak kapal ini bergantung kepada elaun penerbangan.

“Sebagai kru kabin, elaun penerbangan lebih tinggi dari gaji pokok iaitu sekitar 60-70 peratus merupakan elaun penerbangan.

“Ia tidak dapat diraih kerana kekurangan jadual penerbangan ketika perintah duduk rumah ketika ini di seluruh dunia,” katanya.

Jelas Ismail, sekitar 90 peratus anak kapal terjejas pendapatan mereka berikutan kekurangan penerbangan ini.

“Terdapat juga syarikat penerbangan yang memotong gaji pokok pekerja dengan memberikan cuti tanpa gaji bagi menampung kerugian syarikat.

“Ada juga syarikat memotong gaji sehingga 100 peratus termasuk pengurusan tertinggi syarikat,” ujar Ismail.

Namun dalam mendepani detik sukar ini, NUFAM mengharapkan semua pekerja terkesan untuk mempelajari skill baharu bagi mendapat sedikit pendapatan sampingan.

“Kelonggaran yang diberikan oleh majikan untuk melakukan pekerjaan sampingan harus dimanfaat semua pekerja. Ada yang saya dapati mula menjalankan perniagaan sendiri dan membuat perkhidmatan e-hailing.

“Ini langkah yang baik bagi menampung pendapatan mereka yang terjejas ketika situasi yang mungkin terjejas untuk beberapa tahun.”

Ismail turut mengharapkan, semua anak kapal penerbangan, tabah dan terus berusaha dalam mendepani detik mencabar ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button