Nasional

Covid-19: Ibu pejabat KWSP di KL ditutup sehingga Ahad

Oleh BERNAMA 

Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut ditutup mulai semalam dan akan beroperasi semula Isnin depan untuk memberi laluan kepada proses pembersihan dan menyahkuman.

KWSP dalam kenyataan berkata, penutupan itu selepas seorang ahlinya disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Ahli itu berurusan di pejabat KWSP Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut pada 27 Feb (2 hingga 2.30 petang) dan disahkan positif pada 3 Mac. Namun, tiada sebarang pengesahan sama ada ahli itu telah dijangkiti Covid-19 sebelum beliau berurusan di pejabat KWSP.

“Kami telah mengenal pasti pegawai KWSP yang berkemungkinan terdedah kepada ahli itu dan menghantar mereka untuk menjalani pemeriksaan.

“Pegawai lain dari pejabat itu juga dikuarantin. KWSP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjutan.”

Sementara itu, cawangan KWSP di lokasi lain akan beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, ahli digalakkan membuat transaksi dalam talian melalui aplikasi i-Akaun, kecuali bagi urusan yang memerlukan kehadiran ke kaunter KWSP.

KWSP sudah mengambil langkah awal pencegahan sejak bulan lalu untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada jangkitan Covid-19.

“Semua kaunter dan permukaan yang terdedah di premis KWSP dibersihkan secara berterusan sepanjang hari. Pegawai kaunter juga dikehendaki membersihkan tangan mereka setiap 30 minit.

“Pelawat juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis KWSP,” menurut kenyataan itu.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button