Nasional

COVID-19 adalah teguran Allah kepada manusia

VIRUS Corona yang melanda seluruh dunia merupakan teguran Allah yang wajib diambil iktibar. Ia muncul di saat dunia sedang kacau bilau. Peperangan tanpa henti dan pembantaian ke atas umat Islam dilakukan penuh kejam.
Namun negara Islam hanya mampu melihat seolah-olah nyawa saudara mereka itu tiada nilai dan harga. Muncul gerakan-gerakan songsang seperti LGBT, dengan sokongan sebahagian pemimpin Islam dan orang-orang Islam. Mereka mewajarkan aktiviti haram itu atas nama human right ciptaan Kuffar.

Tersebarnya fahaman Liberalisme dengan didukung penuh bangga oleh orang-orang Islam sendiri. Sehingga melanggar aturan agama itu dilihat sebagai tanda sebuah kebebasan berfikir moden dan maju. Ulamak-ulamak dipersenda sambil tergelak dan ketawa.

Penindasan dan pencabulan terhadap agama Allah dikira sebagai sebuah keberanian yang membebaskan manusia dari kongkongan ketakutan bodoh yang dicipta oleh pemimpin-pemimpin agama. Institusi Raja yang melindungi agama dituduh sebagai penghalang kebebasan rakyat untuk memilih agamanya sendiri.

Semua itu adalah sebahagian daripada kemelut yang sedang melanda dunia Islam di belahan dunia mana pun mereka berada. Belum diambil kira lagi kelompok-kelompok kecil masyarakat manusia yang sudah hilang tamadun manusiawinya. Sehingga yang benar disalahkan dan yang salah didewa-dewakan. Orang yang jujur dianggap khianat dan orang yang jelas-jelas khianat dianggap amanah dan jujur.

 

Saat dunia sudah hilang pertimbangan wajar dan waras, saat itulah Allah datangkan sejenis makhluk yang tidak pernah dikenali sebelumnya. Makhluk yang sukar dilihat dan dikesan. Virus Corona melanda tanpa mengira benua, bangsa dan negara. Allah memperingatkan, tidak sukar untuk Allah menghancurkan dunia ini. Malaysia hanya sebuah negara kecil di kalangan puluhan ribu negara lain di bumi.

Bumi hanya sebuah planet yang tak kelihatan dicelah-celah berbilion bintang dan planet lain dalam Galaksi Bima Sakti ini. Dan Galaksi Bima Sakti ini hanyalah gugusan kecil di antara berbilion galaksi-galaksi yang ada di angkasa raya yang tak bertepi. Kalau begitu… di mana kita? Oh. Alangkah kerdilnya kita. Kalau sekerdil itu kita, mengapa sombong kepada Allah?

Ya Allah… Ampuni kami yang menzalimi diri kami sendiri. Teman-teman… Berdoalah dan beristighfarlah kepada Allah. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Tetapi hamba itulah yang sering berlaku zalim kepada Allah.

Cuba bayangkan jika Allah lanjutkan wabak ini berbulan-bulan lamanya. Seluruh aktiviti yang menjana ekonomi manusia akan lumpuh. Kekurangan makanan akan berlaku di mana-mana. Kebuluran berleluasa.

Waktu itu manusia tidak lagi memikirkan kediaman, kenderaan, pakaian dan kemewahan. Yang mereka fikir ialah bagaimana untuk mendapat makanan. Ketika manusia kelaparan, kemiskinan dan kemelaratan justeru krisis bekalan makanan yang sangat parah… Waktu itu akan muncullah Dajal menawarkan bantuan yang ditukar dengan sebuah iman jika ada…

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat

DIPETIK DARI: HARAKAHDAILY 17/3/2020

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button