COVID-19: 46 termasuk 10 kanak-kanak rakyat Malaysia selamat tiba dari Tehran
PESAWAT AirAsia yang disewa khas untuk Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana yang membawa rakyat Malaysia dari Tehran, Iran, selamat tiba pada pukul 6.35 pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Agengsi Pengurusan Bencana Negara, pesawat khas itu membawa 46 individu termasuk 10 orang kanak-kanak dari Iran yang merupakan salah sebuah negara yang paling teruk dilanda wabak COVID-19.
Mereka berlepas dari Tehran sejak malam tadi dan setibanya di KLIA, mereka melalui proses tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di KLIA.
Berdasarkan laporan ASTRO Awani, 46 individu termasuk 10 kanak-kanak adalah yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Tehran.
Semalam, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pesawat AirAsia telah berlepas ke Tehran untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Iran.
Usaha ini adalah hasil perbincangan peringkat tertinggi di antara kerajaan-kerajaan negara terlibat dalam semangat kerjasama ASEAN. – SM