Nasional

Contohi Thailand, wajibkan pemandu mabuk bayar pampasan

KOMENTAR

SUNGGUH tidak adil. Gara-gara gelagat jahat pemandu mabuk, insan yang tidak berdosa menjadi korban.

Semalam, kita kehilangan seorang anggota polis berprestasi tinggi, Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, akibat dilanggar pemandu mabuk.

Kematian arwah sungguh memilukan kerana ketika kejadian, Safwan sedang bertugas mengawal sekatan jalan raya Op COVID-19 dekat Plaza Tol Kajang Selatan.

Dalam tiga bulan pertama tahun ini ada beberapa kes kemalangan mengorbankan insan-insan tersayang keluarga gara-gara pemanduan suspek yang mabuk. Bahasa `sedap’nya memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pemandu-pemandu mabuk ini cukup `bernasib baik’ kerana perbuatan itu dilakukan di Malaysia. Kalau di negara-negara lain, naya mereka.

Berdasarkan Seksyen 41 dan 44 Akta 333, hukuman maksimum terhadap mereka adalah penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.

Berikutan itu, timbul desakan terutama sejak awal tahun ini supaya Akta 333 dipinda khususnya melibatkan hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

Mari kita perhatikan hukuman terhadap pemandu mabuk di negara lain untuk dibuat perbandingan.

Paling `cantik’ kes pemanduan mabuk di Thailand yang boleh dicontohi Malaysia dalam memastikan keluarga mangsa yang terkorban dapat meneruskan kesinambungan hidup mereka.

Dalam beberapa kes melibatkan rakyat Malaysia sebelum ini, pemandu mabuk perlu membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

Antara contoh, kes melibatkan lima pemotong rumput yang maut dilanggar pada 13 Ogos tahun lalu di Jalan Hatyai – Satun, pemandu warga Malaysia terbabit berdepan hukuman penjara 10 tahun dan denda tidak lebih 20,000 Baht (RM2,721) jika sabit kesalahan.

Polis Thailand bagaimanapun bersetuju mengurangkan ikat jamin daripada 500,000 Baht (RM68,000) kepada 200,000 Baht (RM27,000) selain perlu membayar sagu hati wang tunai 50,000 Baht (RM6,764) setiap keluarga mangsa menjadikan jumlah keseluruhan (RM33,823).

Undang-undang Singapura pula menetapkan pesalah kali pertama dikenakan denda RM20,500 (AS$5,000) atau penjara enam bulan. Bagi kesalahan kedua, denda dan tempoh penjara boleh meningkat 500 kali ganda.

Di Rusia lain kisahnya. Di negara itu, pihak berkuasa menggantung lesen mereka yang memandu mabuk bukan untuk setahun atau 10 tahun, tetapi selama-lamanya.

Taiwan misalnya pada Mac tahun lalu merancang untuk melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah yang menyebabkan kemalangan maut ketika memandu dalam keadaan mabuk.

Berdasarkan laporan pesalah mabuk sebelum ini boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun di Taiwan.

Kabinet negara itu meluluskan satu draf pindaan terhadap Kanun Keseksaan yang akan menjadikan kesalahan menyebabkan kematian ketika memandu dalam keadaan mabuk sebagai kesalahan bunuh.

Begitupun, hukuman tersebut mendapat tentangan hebat daripada kumpulan hak asasi menyebabkan ia belum dapat dilaksanakan.

Kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk agak tinggi di Afrika Selatan. Kerajaan negara tersebut turut bertindak tegas dengan mengenakan hukuman denda sebanyak AS$10,000 (RM40,000) atau penjara 10 tahun dan dalam sesetengah kes, kedua-duanya sekali.

Finland dan Sweden pula terus menjatuhkan hukuman setahun penjara dan kerja-kerja buruh kasar kepada pemandu mabuk. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button