Cirit-birit, Grab dan pengawai keselamatan
DALAM menempuh Perintah Kawalan Pergerakan ini sebenarnya banyak kesukaran yang dihadapi. Tapi kelangsungan hidup manusia akan sentiasa terjamin apabila setiap seorang dari kita saling bantu membantu.
Antara kesukaran yang dihadapi ketika PKP ini termasuklah diserang cirit-birit dan perlu pergi ke hospital ketika waktu menjengah 12 tengah malam.
Itulah yang aku lalui malam tadi. Sebenarnya sakit perut akibat salah makan bermula awal pagi semalam. Kira-kira pukul 5 pagi.
Ketika itu aku masih lagi boleh bertahan. Ingatkan sakit perut biasa-biasa sahaja.
Walaupun sudah berkali-kali berulang alik ke tandas aku masih lagi yakin mampu bertahan tanpa perlu pergi berjumpa doktor.
Ya, walaupun yang keluar dari sempit itu seperti semburan gas gunung berapi yang meletuskan laharnya, bersama-sama aliran yang cair, aku masih bertekad untuk tidak pergi berjumpa doktor.
Malangnya, kira-kira setengah jam sebelum pukul 12.00 tengah malam, malam tadi aku sudah tidak mampu untuk bertahan.
Siapa yang pernah membaca novel satira sasterawan negara Allahyarham Datuk Dr. Shahnon Ahmad bertajuk ‘Shit’ tentu dapat membayangkan betapa terdesaknya ‘benda’ itu mahu keluar.
Jadi kira-kira pukul 11.30 malam aku siap-siapkan diri ala kadar dengan memakai seluar track dan t-shir untuk pergi ke Subang Jaya Medical Centre.
Aku memutuskan untuk menggunakan Grab ke hospital yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari rumah kerana tidak mahu menyusahkan siapa-siapapun.
Guna Grab lagi selamat ketika kecemasan. Sukar juga untuk memandu jika perut meragam boleh hilang tumpuan dibuatnya ketika mengawal kemutan supaya ‘benda’ itu tidak keluar dalam kereta.
Lebih kurang 11.49 tengah malam aku sampai ke hospital. Tanpa berlengah aku membayar tambang R12.00 kepada pemandu Grab yang patuh memakai pelitup muka.
Tidak ramai pesakit. Semua petugas memakai pakaian alat perlindungan diri (PPE).
Kira-kira 12.00 tengah malam berjumpa dengan doktor yang bertugas. Macam biasa bersoal-jawab dengan doktor. Macam-mana boleh sakit perut.
Aku balas, kemungkinan kerana gulai ikan sardin masak lemak cili api bersama petai yang emak bekalkan dari kampung seminggu lalu. Emak bekalkan banyak.
Jadi boleh bertahan seminggu. Dan aku panaskan ala kadar. Mungkin juga gulai itu jadi penyebab sakit perut.
Segala proses yang berlangsung di hospital mengambil masa yang tidak lama. Kira-kira pukul 12.15 malam semua selesai.
Masalah mula timbul apabila aku mahu pulang. Disebabkan terlalu jarang menggunakan Grab aku tidak langsung tahu ketika PKPB waktu perkhidmatan tamat pada pukul 12 tengah malam.
Di tengah-tengah malam tanpa mahu mengganggu tidur sesiapapun, aku menjadi panik.
Aplikasi Grab tidak berfungsi. Berkali-kali aku cuba kerana tidak percaya aplikasi Grab tidak berfungsi. Aku mencuba dan mencuba sehingga hampir pukul 12.45 pagi dan akhirnya aku berputus asa.
Bagaimana mahu pulang. Resah dan gelisah. Sakit perut masih mencucuk. Letusan boleh berlaku bila-bila masa.
Aku duduk di satu sudut. Berdoa agar dipermudahkan segala urusan. Kelihatan tidak jauh dari tempat aku duduk ada dua lelaki yang merupakan pegawai keselamatan di hospital itu.
Hanya mencuba nasib, aku bertanya jika mereka mempunyai nombor telefon mana-mana pemandu teksi yang boleh menghantar pulang.
“Tidak ada,” kata mereka. Aku pasrah. Nampaknya malam ini aku akan tidur di kerusi yang terdapat di hospital ini.
Tanpa disangka-sangka, mungkin kerana simpati salah seorang daripada mereka kemudian mahu menghantar aku pulang ke rumah.
Begitulah, manusia boleh meneruskan kelangsung hidup mereka dalam waktu sukar jika mereka saling bekerja-sama.
Kepada pegawai keselamatan Subang Jaya Medical Centre itu aku mengucapkan terima kasih banyak-banyak kerana sanggup mencari satu lagi helmet semata-mata untuk menghantar aku pulang ke rumah menggunakan motornya.
Percayalah kita boleh mengatasi saat yang sukar Covid-19 ini sekiranya setiap seorang daripada kita saling bantu membantu. Adios.
Ps: Selepas makan ubat, perut aku kini (11.30 pagi) lega dan boleh meneruskan kerja yang tertangguh sejak semalam.-SM