Nasional

CIJ gesa henti tindakan mengancam kebebesan media

PUSAT Kewartawanan Bebas (CIJ) melahirkan kebimbang dan mengecam usaha berterusan yang dilihat menekan serta menindas agensi berita antarabangsa Al Jazeera.

Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah G. Naidu mendakwa, kerajaan jelas melancarkan serangan terhadap Al-Jazeera berikutan penyiaran dokumentari “Locked Up In Malaysia’s Lockdown”.

Jelas beliau, sehingga kini kerajaan belum tampil menjawab dakwaan Al Jazeera dengan fakta sahih serta bukti bagi menunjukkan bahawa hak asasi kelompok migran tidak dinafikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

“Dengan demikian, kami menegaskan gesaan kami agar kerajaan menjalankan penyiasatan bebas ke atas dakwaan-dakwaan yang ditimbulkan dalam dokumentari tersebut, dan tindakan lanjut diambil berdasarkan hasil siasatannya,” kata Wathshlah.

Beliau mendakwa, tindakan ke atas Al Jazeera serta media lain seperti Malaysiakini, siasatan terhadap wartawan CodeBlue Boo Su-Lyn merupakan usaha terancang kerajaan untuk mendiamkan suara dan laporan-laporan kritikal terhadap sebarang tindakan kerajaan.

“Ini merupakan ancaman serius terhadap hak mendapatkan maklumat serta kebebasan bersuara dan berekspresi. Kami amat risau sekiranya tindakan sebegini berterusan, asas demokrasi negara akan terancam dan kepentingan politik akan terus melangkaui kepentingan rakyat.

“Kami tidak berhasrat agar kredibiliti Malaysia sebagai sebuah negara direndahkan di peringkat antarabangsa, rentetan dari tindakan-tindakan yang menonjolkan sifat tidak hormat serta ketidakpatuhan terhadap prinsip-prinsip hak asasi manusia berkait kebebasan berekspresi dan kebebasan bersuara yang diterima di peringkat antarabangsa,” kata Wathshlah

Katanya, sebagai badan pemantau media, CIJ memandang berat kemungkinan posisi Malaysia di Indeks Kebebasan Media dunia akan menjunam setelah baru-baru ini mencatatkan penambahbaikan.

Justeru, CIJ menggesa agar kerajaan dan agensi-agensi berkaitan menghentikan siasatan serta tindakan intimidasi terhadap Al Jazeera dan agensi-agensi media terkait seperti ASTRO dan UnifiTV, pemberi maklumat dan semua pihak terkait dokumentari tersebut.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button