China pinda ayat Al Quran
BERAGAMA Islam, bertutur sub bahasa Turki, rupa paras yang tidak sama dan budaya yang jauh berbeza menjadikan etnik Uighur dilihat sebagai ancaman oleh Parti Komunis China.
Meskipun telah berabad cuba diasimilasi sebagai “Cina” namun jatidiri sebagai Muslim yang berpegang teguh kepada ajaran Islam telah membantutkan segala usaha keras Beijing.
Pada awal Januari 2019, media luar melaporkan yang negara itu telah meluluskan undang-undang baru untuk “sinicize” atau “mengcinakan” Islam dalam masa lima tahun.
Perkembangan itu menjadi fasa penindasan baru terhadap 12 juta umat Islam di Xinjiang telah dikenakan larangan untuk mendirikan solat sama ada sendirian atau berjemaah, berpuasa di bulan Ramadan, menutup aurat, berkopiah dan berjanggut bagi lelaki.
Segala usaha bukan berakhir setakat itu, bahkan dalam soal pemakanan.
Babi yang diharamkan syariat Islam lebih 1400 tahun telah dipaksa makan!
Menyedari apa yang diusahakan tidak menampakkan hasil seperti yang diharapkan, pentadbiran Beijing melakukan tindakan baru dengan dengan cuba mengubah isi kandungan Al Quran supaya ia selari dengan fahaman Komunis yang menjadi tunjang negara itu.
Dalam usaha “mengcinakan” etnik Uighur dan Islam di negara itu, ia telah menubuhkan pasukan khas yang terdiri daripada pakar agama di bawah Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China.
Hasil dari pertemuan yang diadakan pada November 2019, mereka diberi arahan untuk untuk mengubah ayat Al Quran supaya selari dengan fahaman parti itu.
“Oleh itu, beberapa perenggan ayat akan dipinda atau diterjemahkan semula.
“Penilaian menyeluruh terhadap agama klasik dengan tujuan kandungan yang tidak bertentangan dengan kemajuan zaman” lapor Daily Sabah.
Meskipun ia dibuat di China dan melibatkan soal dalaman negara itu, perbuatan tidak bertamadun ke atas kitab suci itu adalah satu penghinaan dan ancaman kepada seluruh akidah umat Islam.
Ia perkara serius yang perlu diambil tahu dan mesti dihentikan segera.
Namun selepas hampir setahun, sehingga ke hari ini, tiada langsung bantahan atau reaksi keras dari mana-mana negara Islam.
Sunyi dan sepi…
Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Inilah padah yang terpaksa ditanggung selepas dicucuk hidung.
Bukan setakat membiarkan saudara seakidah diperlakukan tanpa maruah kini kitab suci yang menjadi pegangan hidup dan mati, kini sedang diubah supaya selari dengan nafsu komunis.
Abaikan negara kaya di Asia Barat kerana semuanya tidak boleh diharap yang leka menayang kekayaan masing-masing di mata dunia.
Apa reaksi negara yang dilihat begitu bersemangat dengan nasib umat Islam sejagat seperti Pakistan, Indonesia hatta Malaysia sendiri?
Kenyataan yang perlu ditelan bahawa kebanyakan negara Islam, tidak kira kecil atau besar, hampir semua “termakan budi” dengan China yang telah menggunakan kuasa dan pengaruh ekonominya untuk menutup mulut bagi menyuarakan sebarang bantahan atau kritikan terhadap apa yang sedang dilakukan ke atas etnik Uighur dan umat Islam amnya.
Bagi negara yang tidak “berhutang”, China menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalang segala usul yang dicadang bagi menghentikan pelanggaran hak asasi yang dilakukannya. – SM