Luar Negara

China pecat 2 pegawai kanan kerana tidak tegas kekang Covid-19

DUA pegawai kanan dipecat oleh pihak berkuasa tempatan dalam usaha mengukuhkan dan menentang penularan virus Covid-19 di bandar Xi’an, China.

Menurut data rasmi, kes baharu Covid-19 di bandar Xi’an yang dikenakan sekatan pergerakan berkurangan pada Isnin tetapi tetap memecat dua pegawai kanan pentadbiran.

Bandar Xi’an yang terletak di bahagian utara China menempatkan Pahlawan Terracotta terkenal di dunia.

Ia menjadi pusat penularan Covid-19 terbaharu dengan pihak berkuasa mengarahkan kesemua 13 juta penduduk di bandar tersebut, berada di rumah dan beberapa pusingan ujian saringan besar-besaran dijalankan dalam beberapa minggu ini.

Beijing menggunakan pendekatan “sifar Covid” dengan melaksanakan sekatan sempadan yang ketat dan sekatan pergerakan disasarkan sejak virus mula muncul tetapi strategi itu berdepan tekanan susulan penularan tempatan baru-baru ini.

Bandar Xi’an mencatatkan 90 kes baharu penularan tempatan hari ini berbanding 122 kes sehari sebelumnya.

Sejak 9 Disember lalu, lebih 1,600 kes baharu dilaporkan di bandar itu.

Semalam, media tempatan melaporkan dua pegawai kanan Parti Komunis dari daerah Yanta di Xi’an dipecat dalam usaha “mengukuhkan kerja mencegah dan mengawal wabak” di kawasan terbabit.

Bulan lalu, badan disiplin China mengumumkan berpuluh-puluh pegawai dihukum kerana tidak tegas dalam mencegah dan mengawal penularan.

Penduduk tempatan memberitahu media, dalam beberapa hari ini, mereka bergelut mencari makanan walaupun pihak berkuasa China bertegas mereka berusaha memastikan bekalan stabil.

Walaupun kes Covid-19 di China lebih rendah berbanding negara lain, kes baharu dalam beberapa hari ini mencapai tahap tertinggi di negara itu sejak Mac 2020.

Lonjakan kes itu berlaku ketika Beijing bersiap sedia untuk menganjurkan Olimpik Musim Sejuk pada bulan depan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button