Chelsea, Lampard melangkah mantap ke Wembley
SKUAD muda Chelsea bimbingan Frank Lampard semakin mantap ketika liga menuju ke akhir musim.
Selepas melakarkan kemenangan dan memantapkan kedudukan di tangga keempat liga dan sekali gus berkemungkinan besar bakal layak beraksi di Liga Juara-Juara, Chelsea kini mara ke separuh akhir Piala FA.
Dengan menumpaskan Leicester City 1-0, hasil gol jaringan Ross Barkley pada minit ke-63, skuad berkenaan kelihatan semakin matang.
Chelsea yang baharu dipimpin oleh Lampard membariskan majoriti pemain muda sebelum ini tidak diletakkan sebarang harapan.
Secara keseluruhan Lampard berpuas hati dengan persembahan Chelsea dan beliau memuji Barkley yang mempunyai sikap positif serta sentiasa berusaha keras mencapai kemenangan.
Barkley kata Lampard seorang pemain yang serba boleh. Selain mampu menjaringkan gol dengan kedua-dua belah kakim, dia juga sering turun membantu benteng pertahanan.
Chelsea akan bertemu dengan Manchester United di Wembley pada peringkat separuh akhir.
Minggu lalu Chelsea menumpaskan Manchester City dengan jaringan 2-1 dan sekali gus memberi kelebihan mata kepada Liverpool untuk muncul juara Liga Inggeris buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun.
Liga Inggeris sebelum ini terpaksa dihentikan berikutan pandemik Covid-19 dan kini disambung semula.
Walaupun terpaksa beraksi tanpa penyokong, tetapi kehangatan Liga Inggeris tetap dirasakan. – SM