Chef Wan disiasat kerana isu 3R
SELEBRITI, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali Chef Wan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berhubung komennya yang dipercayai bersifat perkauman terhadap pelakon Bollywood wanita, Aishwarya Rai.
Kerana dikatakan pakaian gaun mewah yang dipakai oleh bekas ratu cantik itu seolah-olah membawa Kavadi pada dirinya untuk menuju ke Batu Caves sempena Thaipusam.
Bagaimanapun komen tersebut mendapat reaksi kurang senang dari masyarakat beragama Hindu dan menganggap kata-katanya bersifat perkauman.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kes berkenaan.
Jelas beliau, kes itu diserahkan kepada USJT oleh kerana didakwa melibatkan unsur 3R iaitu agama, kaum dan raja.
Oleh itu, Ahmad Sukarno menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan kata-kata yang menyentuh isu 3R di mana-mana platform kerana berisiko untuk menggugat ketenteraman awam di Malaysia.
Bagaimanapun, Chef Wan memohon maaf atas tindakanya itu dan tiada niat untuk menghina mana-mana agama.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan permohonan maaf kepada semua penganut agama HIndu kerana telah membuat kenyataan sedemikian. Saya minta maaf,” kata beliau.
Tambahnya lagi, dia hanya mahu bergurau namun tidak menyangka komennya telah disalah tafsir sehingga pihak berkuasa terpaksa menyiasat selepas terdapat laporan.
“Saya tidak tahu sama ada nak ketawa atau menangis. Sejujurnya saya rasa rakyat Malaysia sekarang begitu sensitif dalam banyak perkara.
“Saya percaya kebenaran dan niat jujur kita, Allah mengetahuinya dengan baik. Tak perlu takut jika kita tidak buat kesalahan.
“Namun jika benar telah melakukan kesalahan, kita harus dengan jujur minta maaf secara terbuka,” katanya lagi.
Aishwarya Rai mengenakan gaun dari Falguni Shane Peacock dengan campuran warna biru, ungu dan kelabu di Festival Filem Cannes yang diadakan pada 14 sehingga 25 Mei lalu.