Nasional

Cari rezeki bulan Ramadan jadi Bumblebee

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 11 April – Mengumpul pelbagai koleksi figura adiwira seperti Star Wars, Transformers, Art Attack
dan sebagainya sudah menjadi minat buat seorang lelaki Saiful Dinie Ab Dullah, 33, sejak zaman sekolahnya
hingga kini.

Paling digemarinya ialah watak Bumblebee dalam filem Transformers apabila kali pertama menonton filem
Transformers pada 2007. Sejak itu dia tidak pernah ketinggalan mendapatkan figura aksi kegemarannya
terutama watak dalam filem tersebut.

Tidak hairanlah pemilik Hotel D’Keris di Plaza Mahkota, Bandar Hilir, sanggup berbelanja sebanyak RM10,000
bagi membeli kostum Bumblebee dari China.

Menurut Saiful Dinie, kostum itu kini menjadi sumber pendapatan tambahan khususnya di bulan Ramadan
apabila operasi hotelnya kurang dikunjungi pelanggan ketika ini.

“Lokasi hotel bajet saya di kawasan tumpuan pelancong tapi apabila Ramadan ini amat kurang pelancong
datang dan pendapatan saya semakin kurang.

“Kebetulan kostum Bumblebee yang saya beli sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu saya
gunakan semula berjalan di bazar-bazar Aidilfitri seperti di Jalan Hang Tuah dan Klebang untuk mencari
rezeki.

“Saya hanya menunjukkan pelbagai aksi, mereka yang berminat untuk bergambar hanya perlu bersedekah berapa
yang mereka hendak bagi.

“Ini saya jadikan sebagai sumber rezeki tambahan dan sepekara lagi saya sangat seronok bila memakai kostum
Bumblebee serta merasakan seperti benar-benar beraksi dalam filem Transformers,” ujarnya ketika ditemui
berada di Grand Ramadan Bazar Jalan Hang Tuah di sini malam tadi.

Menurutnya, dia mula memperagakan kostum itu sejak awal Ramadan dengan berjalan di beberapa Bazar
Aidilfitri sama ada di Jalan Hang Tuah atau Klebang.

Kehadiran Bumblebee di bazar berkenaan mencuri tumpuan orang ramai berkunjung ke situ bukan sahaja ibu
bapa tetapi paling utama buat kanak-kanak untuk bergambar.

Saiful Dinie berkata, idea untuk memperagakan kostum Bumblebee itu timbul sewaktu Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) dua tahun lalu apabila dia hilang sumber pendapat menyara isteri serta dua anaknya
apabila hotel tidak dapat beroperasi.

Katanya, dia berbincang dengan isterinya, Nurul Hidayah Hamzah, mereke mengeluar wang sebanyak RM20,000
untuk menempah rekabentuk Bumblebee dari China.

“Selepas PKP dan rentas negeri dibenarkan saya mula memakai kostum adiwira dalam filem Transformers itu
di kawasan tumpuan pelancong di Bandar Hilir dan tidak sangka ia boleh jana pendapatan serta meringankan
beban saya ketika itu,” ujarnya.

Sejak itu katanya, aktiviti memakai kostum Bumblebee sudah menjadi kegemarannya berada di beberapa tempat
tumpuan pelancong di sekitar Bandar Hilir.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button