KERAJAAN perlu menjelaskan bagaimana dana endowmen yang dicadang akan ditubuhkan bagi menjamin Mara dibiayai selain menerangkan tentang apakah strategi untuk melestarikannya.
Ini kerana menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, penubuhan dana endowmen yang bergantung penuh kepada kerajaan, tidak akan menjadi lestari dan mapan.
“Amatlah penting untuk kerajaan mempertimbang bagi mencari kedinamikan baharu kepada semua aktiviti pelaburan dan perniagaan Mara sedia ada, tanpa perlu memberhentikan atau menutup operasi perniagaan terbabit.
“Penyelesaian terbaik ialah dengan langkah memperkasakan dan menambah nilai kedua-dua peranan Mara dalam pendidikan dan perniagaan dengan memberikan impetus dan sentuhan profesional bakat tempatan,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook beliau.
Dalam pada itu kata Mohamad, keputusan Mara untuk memberikan fokus kepada bidang pendidikan adalah keputusan yang baik tetapi ia bukan perkara baharu.
“Pengupayaan orang Melayu/bumiputera adalah sebaiknya menggunakan instrumen pendidikan.
“Dan inilah yang telah dilaksanakan UMNO selama berpuluh-puluh tahun, melalui Mara, ITM dan sekarang UiTM dan lain-lain institusi pendidikan di bawah Mara.
“Tanpa perjuangan UMNO, Mara dan pelaburan dalam bidang pendidikan untuk orang Melayu tidak mungkin berlaku,” katanya lagi.
Jelas beliau, malah melalui Mara, ratusan ribu orang Melayu dan bumiputera telah diupayakan melalui Maktab Rendah Sains Mara, pembiayaan pendidikan tinggi dan penubuhan pelbagai institusi pendidikan tinggi di bawah UniKL.
Pada waktu sama tegas beliau, Mara semasa UMNO mentadbir, juga berperanan membantu membangunkan keupayaan orang Melayu dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
“Malah Mara adalah agensi terawal yang diberikan mandat untuk membantu keusahawanan golongan Melayu/bumiputera tanpa mengabaikan kepentingan peranannya dalam sektor pendidikan,” kata beliau.
Baru-baru ini Pengerusi Mara, Dr. Hasnita Hashim membayangkan agensi bumiputera itu akan menutup kegiatan-kegiataan perniagaan dan pelaburannya, di sebalik bantahan beberapa pihak terhadap rancangan menutup syarikat korporatnya, Mara Corporation Sdn. Bhd.
Katanya, dalam rancangan masa depan untuk menjauhi perniagaan, dana endowmen tabung pendidikan Mara akan ditubuhkan.