Cara Buat Belacan Secara Homebased, Penting Langkah 3 Dan 4 Untuk Aroma Yang Menyengat!
Sudah tidak ramai generasi yang masih hidup di Tanah Melayu pada zaman 2021 memiliki kemahiran untuk membuat belacan.
Untuk memastikan belacan tidak hilang sebagai salah satu warisan dalam pembuatan makanan kita, Suara Merdeka ingin berkongsi:
Cara-Cara Membuat Belacan Secara Homebased
Antara bahan-bahan yang anda perlu sediakan adalah ikan, udang kecil atau udang geragau serta garam dan berikut adalah langkah pembuatannya:
1) Siang dan bersihkan ikan, udang kecil atau udang geragau. Ia boleh dicampur dan masukkan garam dengan nisbah 20 peratus lalu digaul rata.
2) Letakkan adunan bergaram itu ke dalam nyiru dan ratakan setebal 1.0 – 1.5 inci, kemudian jemur sehingga adunan menjadi separuh kering.
3) Adunan yang telah dijemur separuh kering tadi dikisar supaya separuh hancur, dan ia dibungkus dengan kain muslin dan masukkan ke dalam tong kayu atau besen kemudian diperam selama tiga hari.
4) Kemudian, keluarkan dan jika masih lembab, terus jemur lagi. Seterusnya kisar sekali lagi supaya adunannya menjadi halus, dan ia dibungkus semula dengan kain muslin, dimasukkan ke dalam tong semula, ditekan supaya menjadi padat, kemudian diperam selama 3 hari lagi.
5) Ulangi langkah 3 dan 4 bagi menghasilkan aroma belacan yang menyengat sekali gus menaikkan rasa belacan.
6) Belacan yang ditekan dalam acuan kayu untuk dibentuk bolehlah dibungkus dengan kaedah masing-masing.
Selamat mencuba!