Cabaran MCA dalam Realiti Politik Semasa dan ke Hadapan
Oleh: Rizal Johan
PRK Tanjung Piai adalah satu litmus test yang penting kepada MCA untuk memastikan sama ada parti tersebut masih relevan era pasca PRU14 dan juga sejauh manakah kedudukan sebenar MCA di dalam Barisan Nasional (BN). Penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) sudah dijangka akan berlaku, cuma persoalannya lebih terarah kepada apakah benar akan berlaku swing votes dalam kalangan orang Cina kepada BN-MCA ataupun tidak.
Jika tidak berlaku swing votes dari orang Cina di Tanjung Piai dan MCA mengalami nasib yang sama seperti di Balakong pada 2018, maka ia hanya akan melunakkan suara-suara sumbang yang mendakwa MCA sudah tidak lagi relevan kepada BN dan orang Cina keseluruhannya.
Sepanjang 22 bulan PH memerintah, DAP telah menyebabkan kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap parti berteraskan kaum Cina – tidak kira MCA mahupun DAP. Dan, jika senario ini tidak diimbangi melalui spektrum politik yang betul oleh MCA, dikhuatiri ianya akan menjadi pembunuh terbesar kepada perubahan tolenrasi politik oleh orang Melayu dan ini adalah sesuatu yang kita tidak inginkan untuk berlaku.
Menelusuri konteks realiti baharu politik negara, konfigurasi tiga dimensi antara BN-Perikatan Nasional (PN), PH serta kerangka politik Muafakat Nasional mula menjadi perhatian rakyat. Maka kedudukan dan pendirian MCA kembali menjadi tanda tanya di benak fikiran orang Cina dan juga orang Melayu. Persoalan-persoalan seperti apakah MCA mampu mengembalikan momentumnya dalam denyut nadi orang Cina dan sejauh mana nilai tambah MCA dalam konfigurasi politik semasa mula dilontar oleh si penglipurlara.
MCA tidak lagi berkhidmat kepada rakyat?
Perjuangan untuk mendapatkan dana Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) dibuat secara agresif oleh MCA pada ketika bantuan geran dipolitikkan oleh DAP ketika rejim PH berkuasa harus diingati selamanya oleh semua orang Cina supaya dapat mereka bezakan siapa yang sebenarnya menjuarai kebajikan orang Cina dan siapa yang gemar bermain drama wayang kulit.
Dalam hal ini, pujian perlu diberikan kepada Wee Ka Siong selaku Presiden MCA dan seluruh kepimpinan MCA hari ini kerana usaha mereka memperjuangkan untung nasib KUTAR. Di Tanjung Piai, setiap kali ceramah BN berlangsung, saat itulah kutipan tabung digerakkan oleh Wee Ka Siong sendiri. Kutipan tabung ini tidak lebih sebagai sebuah manifestasi perjuangan MCA untuk anak-anak orang Cina terutamanya bagi melanjutkan pelajaran.
KUTAR (dahulunya dikenali sebagai KTAR) adalah idea ulung Tun Tan Siew Sin ketika mengemudi MCA bagi mewujudkan satu institusi pengajian tinggi yang berkualiti dengan yuran pengajian yang berpatutan kepada semua anak watan merentasi perbezaan agama, bangsa mahupun warna kulit tanpa perlu menggadaikan harta demi segenggam ijazah.
Selain KTAR yang bertukar status kepada KUTAR pada 2013, MCA juga telah menubuhkan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) pada 2002, Institut Vokasional Tunku Abdul Rahman (VTAR), serta Institut CECE untuk pendidikan awal kanak kanak.
Justeru, dakwaan kononnya MCA bukan sebuah parti service oriented adalah tidak berasas sama sekali sedangkan sejarah penubuhan MCA itu sendiri sebenarnya berpaksikan gabungan organisasi kebajikan orang Cina.
MCA sentiasa komited dalam menawarkan servis terbaik kepada masyarakat termasuklah menyelesaikan isu kebajikan setempat dan mewakili kawasan konstituen masing-masing dalam sebarang pertikaian dengan jabatan-jabatan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan sehingga dilabel sebagai sekadar service centre berbanding sebuah parti politik.
Penguasaan Politik Semasa Tidak Statik
Formula asas BN – menaungi parti-parti komponen di bawah satu bumbung adalah adunan terbaik untuk Malaysia. Jika tidak, masakan ianya mampu bertahan sehingga 60 tahun. MCA pula setia bersama UMNO dan MIC dari zaman kapal layar sehingga ke dacing. Cuma apabila MCA cuba bereksperimentasi dengan logo mereka sendiri di Balakong, itu sesuatu yang sukar untuk diterima dan di luar kerangka politik BN. Hasilnya, mereka ditolak secara total oleh pengundi asas BN dan itu sebenarnya satu pengajaran yang berguna bukan sahaja kepada MCA, tetapi BN keseluruhannya.
Keunikan Malaysia dengan kepelbagaian etnik dan budaya menuntut permuafakatan yang utuh antara parti politik berteraskan kaum. Keharmonian politik adalah kunci untuk mentadbir negara ini dan MCA perlu memainkan peranan sebagai fulkrum untuk mengimbangi spektrum politik semasa di samping beraspirasi mengembalikan semula kepercayaan orang Cina.
MCA perlu bingkas bangun dan terus berlari ke garisan. Fahami lenggok politik generasi muda, dampingi lebih ramai pelapis belia dan saingi senario politik alam maya. Itu rahsianya!
*Artikel adalah pandangan peribadi penulis dan penulis merupakan seorang pelajar pascasiswazah di sebuah universiti awam tempatan. Mempunyai minat yang mendalam mengenai politik dan isu semasa.