BUY Muslim First #BMF yang tercetus ekoran kecewa dengan sikap peniaga lain terutama yang didominasi oleh kaum Cina kini makin sejuk. Dan apabila saya tulis sedemikian ramai netizen yang marah-marah kerana kata mereka saya tidak melihat hakikat yang sebenar, tetapi hanya berasaskan apa yang berlegar di media sosial.
Saya menulis bukan sahaja berasas apa yang berlaku di media sosial sekitar kumpulan-kumpulan di dalam facebook khususnya kini menjadi sebagai sebuah kumpulan untuk memasarkan produk sahaja, tiada perkongsian idea yang bernas yang dapat dijadikan sesuatu yang lebih mapan.
Dari pengalaman saya orang Melayu khususnya bukan tidak pandai menternak ayam, menanam tembikai dan menghasilkan pelbagai produk makanan yang lain, tetapi mereka gagal menguasai pasaran. Kalau ada pasar raya sekalipun adalah milik orang Acheh.
Saya mengambil contoh rakan saya di Pahang mendapat peladang penternak jaya kebangsaan selepas beliau dianugerahkan kontrak bagi menyediakan bekalan ayam ke syarikat Ayamas iaitu yang berkaitan dengan KFC.
Sebelum itu ayam yang beliau ternak hingga tua di reban kerana tidak dapat dijual. Peraih yang merupakan kaum Cina enggan mengambil ayam dari rebannya untuk dipasarkan. Apa yang dia boleh hanya tidur berendam air mata.
Tapi dia bernasib baik ketika itu pemimpin Pahang merupakan Pengerusi KFC telah terdengar kisah sedihnya dan telah menganugerahkan kontrak tersebut. Selepas itu dia menjadi kaya dan biasalah Melayu bila kaya tidak kenallah rakan yang menulis kisah sedihnya.
Setiap kali saya lalu di hadapan rumah yang tersergam indah, saya doakan dia terus berjaya dan membuka peluang kepada para penternak yang lain di seluruh negara. Tetapi perkara itu seperti tidak berlaku. Melayu apabila sudah senang mereka akan lupa kisah perit jerih mereka dan paling menyedihkan kaum sendiri.
Sama kisah Utusan Melayu yang ditubuhkan oleh orang Melayu dari air mata dan darah, akhirnya dikuburkan oleh orang Melayu sendiri menyebabkan ribuan orang Melayu menganggur dan teraba-raba mencari arah hidup.
Saya kadangkala marah kepada Petronas kerana sikap tamak mereka membolot semua orang Melayu yang bijak pandai untuk bekerja dengan mereka. Mereka bukan sahaja ditaja dari sekolah hingga melanjutkan pelajaran ke luar negara, bahkan mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa. Tetapi sumbangan mereka hanya sebatas di Petronas dan ada yang membuka syarikat sendiri juga untuk berniaga dengan Petronas.
Sisa-sisanya barulah bekerja di syarikat Melayu lain seperti Utusan yang mempunyai barisan kepimpinan yang lemah dalam merancang dan membentuk model perniagaan yang sesuai mengikut kehendak semasa pengguna.
Jika mereka melihat ke dalam diri sendiri sahaja sudah cukup. Ketika mereka bangga menggunakan telefon pintar yang canggih dan mengakses segala maklumat di hujung jari, para pelanggan Utusan dipaksa untuk memberi lembaran akhbar secara fizikal. Degil dan gagal mengikut perkembangan semasa menyebabkan syarikat berkenaan gulung tikar.
Lihat juga apa yang dibuat di Bangunan Mara yang dijadikan pusat penjual produk elektronik bagi orang Melayu, ia juga hanya hangat-hangat tahi ayam, kini terus sepi.
Setakat ini saya mendapat maklumat akan ada sebuah pasar raya dibuka khusus untuk memasarkan produk Islam iaitu Malakat Mall. Moga langkah ini dapat membantu peniagaan Melayu dan Islam untuk masuk ke pasaran yang selama ini disekat.
Lihat juga di Ipoh bagaimana penanam tembikai yang diboikot oleh pemborong Cina, tetapi dibantu oleh orang Melayu apabila kisah malangnya viral di media sosial.
Walaupun perkara itu dinafikan oleh peniaga Cina, tetapi itulah hakikat. Peniaga Melayu terpaksa berniaga di dalam talian melalui media sosial, di pinggir-pinggir jalan dan sangat sukar untuk mendapat tempat di pasar raya besar.
Kadangkala saya terkejut apabila masuk ke medan makan di pusat membeli-belah kerana semua peniaga makanan adalah dimiliki oleh orang Cina. Cuma pekerja sahaja yang memakai tudung walaupun tidak semestinya Islam dan Melayu.
Begitulah betapa teruknya apabila pasaran dikuasai oleh orang Cina. Tetapi orang Melayu seperti biasa begitu lahap makan atas apa jua alasan dan entah ke mana perginya kempen dan semangat #BMF.