Bursa tinggi pada penutup sesi pagi
Oleh BERNAMA
Bursa Malaysia kekal tinggi mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini, sejajar dengan pasaran serantau lain berikutan pemulihan dalam harga minyak mentah global, yang naik 7.36 peratus kepada AS$36.89 setong.
Sentimen pasaran tempatan juga didorong oleh perlantikan Menteri Kabinet melonjakkan keyakinan pelabur.
Pada 12.30 tengah hari, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 15.07 mata atau 1.05 peratus kepada 1,439.23 daripada penutup semalam, 1,424.16.
Selepas dibuka 8.3 mata rendah pada 1,415.86 pagi ini, indeks penanda aras pasaran tempatan itu bergerak antara 1,414.95 dan 1,439.91 sepanjang sesi pagi.
Bagaimanapun, dalam pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 606 berbanding 274, dengan 314 kaunter tidak berubah, 812 tidak diniagakan dan 17 lain digantung.
Jumlah dagangan berada pada paras 2.43 bilion saham bernilai RM1.56 bilion. – BERNAMA