“Burger Bae” UMS jana jualan RM90 ribu ketika PKP, ungguli Anugerah Projek UTC 2022
Program University to Community (UTC) adalah usaha berterusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkasakan bidang keusahawanan dalam kalangan mahasiswa selain mewujudkan jalinan antara institut pengajian tinggi, industri dan komuniti.
Ketika berucap menyempurnakan majlis penutup program itu di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini semalam, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata menerusi Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMY2030) merekodkan sejumlah 414 buah perusahan sosial dengan lebih tawaran 3900 peluang pekerjaan setakat ini.
“Seramai 90 ribu usahawan mahasiswa telah dilahirkan dengan 9130 graduan meneruskan kerjaya sebagai usahawan sejurus tamat pengajian,” katanya.
Pada majlis itu, jenama ‘Burger Bae’ yang diusahakan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengungguli Anugerah Projek Program University To Community 2022.
Perusahaan makanan barat yang dicetuskan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Muhammad Hafiz Irfan Rosli, 24, bersama rakannya Azzah Nublah Muhammad Saih, 24, (Ijazah Sarjana Muda Akuakultur), serta Wibowo Prasateyo, 24, pelajar antarabangsa UMS berjaya memikat hati juri dan membawa pulang RM 2000 beserta piala.
Pengarah urusan Burger Bae, Muhammad Hafiz Irfan berkata, operasi perusahaan sajian makanan barat itu bermula pada awal tahun 2020 ketika kebanyakan perniagaan gulung tikar akibat berdepan dengan masalah pandemik wabak Covid-19.
“Ketika tempoh berkurung sekitar bulan Mac 2020, kami beranikan diri untuk memulakan perniagaan dengan melakukan kajian dan pembangunan demi menghasilan produk bermutu yang ada sekarang,” jelasnya.
Menurut Muhammad Hafiz Irfan lagi, perusahaan makanan segera yang menggunakan bahan-bahan segar dengan resepi unik itu turut melibatkan penyertaan golongan asnaf dan B40 sebagai di lima buah cawangan miliknya sekitar Sabah dan Johor.
“Menerusi strategi jualan yang berkesan serta sokongan daripada keluarga terutama sekali mentor kami Ketua Penolong Pegawai Tadbir, Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar UMS, Awang Nasit Yonos, perniagaan Burger Bae berjaya menambat hati pelanggan sehingga ada gerai jualan di antara jualan tahunan mencecah sehingga RM90 ribu ringgit,” katanya.
Sementara itu Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata penganjuran program University To Community yang bermula sejak September 2020 turut melibatkan 715 mahasiswa dengan 21 buah syarikat perusahaan sosial berjaya ditubuhkan di kampus-kampus universiti awam.
Selain Anugerah Projek UTC Terbaik, UMS turut berjaya meraih tempat pertama Anugerah Pembentang Terbaik yang menerima hadiah wang tunai RM1,000.
Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pula memenangi Anugerah Pameran Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM1000 berserta trofi manakala Anugerah Montaj Terbaik dimenangi Universiti Malaya (UM) dengan hadiah bernilai RM700 dan trofi.
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima Anugerah Khas Impak Sosial, manakala Anugerah Khas Proek Harapan disandang oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM ).
Anugerah Khas Kategori Komuniti dimenangi oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) ; Anugerah Khas Kategori Koperasi dimenangi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Anugerah Khas Kategori Prihatin diraih Universiti Malaysia Pahang (UMP).