Belang Bertempat

Bung Moktar “indikator” UMNO menang PRU-15

PILIHAN raya negeri Sabah 26 September depan adalah indikator kepada parti-parti politik untuk menang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Ini bukan pengamatan Belang. Ini analisis banyak panglima dan hulubalang perang di Parlimen yang sempat Belang singgah untuk sembang santai dengan mereka dalam seminggu dua ini.

Dari Shahidan Kassim, Ahmad Maslan, Annuar Musa sehinggalah ke Bung Moktar Radin, orang-orang kanan Mohd. Shafie Apdal serta pemimpin mereka di Sabah, Jaujan Sambakong, Peter Anthony, Azis Jamman, rata-rata menyifatkan itulah telahannya – PRN indikator parti mana pilihan pengundi Malaysia dalam PRU-15 nanti.

Bung Moktar pun kalau bersembang dengannya waktu-waktu sekarang ini, beliau bukanlah individu yang biasa kita pandang dari jauh.

Perawakannya barangkali “sempoi dan kelakar” pada pengamatan orang luar. Tetapi bila Belang sempat berbual dengannya sekali dua ini, aura beliau selaku Pengarah PRN BN Sabah tampak terserlah peranannya sebagai seorang ketua.

Untuk UMNO meraih banyak kerusi barangkali tidak ada masalah, Isu utamanya mungkin dari aspek agihan kerusi yang diterima daripada keseluruhan 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Sama ada Bersatu yang berkehendakkan sekurang-kurangnya 35 kerusi boleh membawa tanggungjawab berat itu, Belang sendiripun tidak beberapa yakin.

Kini segala batu jemala dan tanggungjawab besar untuk survival UMNO yang menunjangi BN terletak kepada Bung Moktar.

Meskipun sedang menghadapi tiga bertuduhan rasuah di mahkamah dan perbicaraan bagi ketiga-tiga kes berkenaan masih berjalan, beliau tetap fokus untuk membawa cabaran BN bersama MCA dan PBRS mengetuai kemenangan di Sabah.

Walaupun ada usaha menidakkan kewajaran pelantikan Bung Moktar itu, ia tidak sepatutnya menjejaskan keputusan parti, di ambang PRN Sabah.

Semua pihak harus menghormati keputusan tersebut, kerana ia disesuaikan dengan kapasiti beliau sebagai Pengerusi BN Sabah sekali gus Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah. Ia juga membuktikan bahawa autonomi kepada UMNO Sabah sedang berjalan dengan baik, dan perlu diteruskan demi manfaat semua pihak.

Pelantikan Bung Moktar sebagai ketua jentera PRN UMNO, bukanlah satu penghinaan, kepada rakyat Sabah, kerana Malaysia berpegang kepada prinsip ‘rule of law’ di mana seseorang yang didakwa dengan apa-apa kesalahan adalah berstatus ‘tertuduh’ sehinggalah dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Bayangkan jika seseorang itu akhirnya didapati tidak bersalah oleh mahkamah, tetapi telah ditidakkan haknya untuk terus bekerja dan menyumbang kepada parti. Tidakkah ia satu penganiayaan? Sebaiknya, kita perlu memberikan hak kepada semua pihak, sebelum melabelkan seseorang sebagai tidak kompeten menjalankan tugas.

Tiga perenggan akhir nukilan tadi Belang kutip daripada pandangan seorang dua. Kini terserah kepada strategi dan gerak tempur Bung Moktar.

-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button