SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri kian sampai ke penghujung namun bagi seorang pembekal buluh
lemang dia tidak menang tangan terus mendapat tempahan sehingga kini.
Buat Muhammad Farid Affandy Khalid, 33, tahun ini dia mampu mengukir senyuman tanda puas apabila permintaan terhadap buluh untuk dibuat lemang sejak awal Ramadan sehingga di pengakhir Aidilfitri terus mendapat sambutan.
Menurutnya, tahun ini perniagaan buluh lemang meningkat tiga kali ganda apabila sepanjang Ramadan berjaya menjual 30,000 batang buluh dan bertambah 10,000 lagi sepanjang Aidilfitri.
Katanya, permintaan bertambah selepas Aidilfitri berikutan banyak rumah terbuka dianjurkan oleh pelbagai pihak serta individu khususnya menjelang minggu-minggu terakhir ini.
“Saya tak menang tangan, ingatkan selepas sebulan Ramadan berakhir saya dah boleh tumpu kerja lain tetapi sejak Aidilfitri hari demi hari saya menerima banyak permintaan sehingga kini.
“Mujurlah pembekal batang buluh dari Terengganu dan Pahang yang saya perolehi masih dapat menerima tempahan yang saya buat bagi memenuhi permintaan daripada penjual lemang dari seluruh negeri ini.
“Aidilfitri tahun paling menggembirakan sejak dua tahun lalu permintaan tidaklah sebanyak ini sehingga semalam mencecah 40,000 batang buluh mengikut ruas untuk lemang,” ujarnya di sini hari ini.
Buluh lemang itu dijual pada harga antara RM1.80 hingga RM2 sebatang buluh dikerat antara enam atau tujuh ruas bagi memasukkan beras pulut untuk dibuat lemang.
Mengulas lanjut Muhammad Farid berkata, belum pun Aidifitri berakhir dia sudah menerima banyak tempahan awal daripada pelanggan tetap khususnya penjual lemang menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
“Saya belum buka untuk tempahan Aidiladha, permintaan untuk Aidilfitri masih berjalan tetapi dah ada pelanggan buat tempahan awal dan setakat ini saya sudah terima 3,000 batang buluh,” ujarnya.
Menurutnya, permintaan buluh menjelang Aidiladha nanti tidak sebanyak seperti Aidilfitri namun dia
bersyukur rezekinya kembali semula selepas dua tahun.
Beliau berkata, dia kerap menerima tempahan daripada pelanggan antara 1,000 hingga 1,500 batang dan harga yang dijual antara RM1.80 hingga RM2.00 sebatang.
Menurutnya, tahun lalu permintaan buluh lemang sekitar 20,000 batang pada bulan Ramadan dan Syawal kerana ketika itu masih dalam suasana Covid-19. – SM Melaka