Uncategorized
Buktikan pemimpin kerajaan terlibat rasuah – Anwar
DATUK Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pimpinan yang didakwa terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau rasuah.
Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa berkaitan terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menyiasat mana-mana pemimpin dalam kerajaaan.
Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk bertindak termasuk menggugurkan individu berkenaan daripada barisan Kabinet jika terbukti terbabit rasuah.
“Tetapi peringatan itu jelas, SPRM takkan mungkin mengecualikan siasatan ke atas pimpinan yang ada sekarang atau memantau setiap tender atau keputusan yang dibuat.
“Kalau ada saya katakan jangan tanya saya, persila ambil tindakan dan orang-orang berkenaan wajib digugurkan, baru boleh negara ini selamat,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di ibu negara, hari ini.
Perdana Menteri meminta siapa sahaja untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mempunyai bukti mengenai rasuah dalam kalangan pemimpin kerajaan.
“Sudah setahun lebih kita perintah, banyak diserang tetapi saya tanya di Parlimen dan luar Parlimen, beri satu bukti menteri atau Perdana Menteri sekarang, kalau ada yang rasuah.
“Tanya Tan Sri Azam Baki, kalau ada siasat, kita siasat, dakwa dan ikut badan kehakiman (untuk) hukum,” tambah beliau. – SM