BUKAN mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lebih awal, tetapi netizen mahu agar prosesnya berlangsung lebih awal.
Mungkin ramai yang terkeliru dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman tentang 15 perkara atau cadangan dibuat jawatankuasa itu.
Antaranya adalah supaya tarikh pilihan raya umum seterusnya diumumkan lebih awal.
“Saya bekerja keras untuknya. Jadi, saya harap saya boleh hantar kepada Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) bulan depan yang mana jika beliau bersetuju, kami akan mengeluarkan laporan sebenar.
“Salah satunya umum tarikh pilihan raya awal… ya kita akan bincang tentang menetapkan tarikh (untuk pilihan raya). Untuk berlaku adil kepada semua parti politik dan badan pengurusan supaya kita tidak membazir duit,” katanya.
Kenyataan Abdul Rashid ini bukanlah tentang mengadakan PRU-15 lebih awal tetapi sebenarnya mengumum atau menguar-uarkan lebih awal tarikh untuk mengadakan PRU.
Di sebalik cadangan ERC itu, netizen mendesak supaya lebih baik PRU-15 diadakan lebih awal.
Ini kerana mereka mendakwa, kebanyakan ahli Parlimen yang ada hari ini gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik dan diharapkan.
Malah, alasan demi alasan yang diberikan oleh ahli-ahli Parlimen seolah-olah mereka tidak berminat untuk memperjuangkan isu-isu rakyat.
Salah seorang netizen, Rokiah Abbas berkata;
“Lagi bagus tahun depan bubarkan sahaja Parlimen, rakyat dah tak mampu nak tunggu lama-lama. Setiap hari ada sahaja perkara yang menguris hati orang Melayu berlaku.”
Kamil Aleng pula berkata; “Lagi bagus. Dah gatal tangan nih.”
Sementara itu, ada juga dalam kalangan netizen yang mahu agar Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa yang ada untuk membubarkan Parlimen.
Ini berikutan beberapa kejadian yang mencemar imej dan kedaulatan negara termasuk isu mengubah suai wajah sebenar Jalur Gemilang.
Kata Abu Kassim Budin, “Ampun Tuanku bertindaklah memang membanggakan titah Tuanku Permaisuri berkaitan bendera kita.”
Dalam masa sama, Zue Yusoff pula mahu supaya Parlimen dibubarkan menerusi pesanan ringkasnya, “Kami mahu #BubarParlimen.”
Benar, bukan mudah menjadi kerajaan hari ini kerana rakyat sentiasa memantau setiap tindakan mereka. Namun, segalanya akan menjadi mudah sekiranya mereka benar-benar ikhlas dan mahu berkhidmat untuk negara.