Nasional

Bukan 2, tetapi 7 permintaan UMNO dipenuhi dalam Belanjawan 2021

SELAIN tuntutan melanjutkan moratorium dan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lima lagi tuntutan UMNO untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2021 turut diluluskan.

Lima lagi penambahan Belanjawan 2021 yang dicadangkan oleh UMNO termasuklah bantuan khas “one off” kepada semua petugas barisan hadapan Covid-19 sebanyak RM300, selain RM500 untuk petugas kesihatan, yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Seterusnya bantuan program e-Belia dengan menaikkan jumlah kredit RM50 ke RM100 juga secara “one-off” ke dalam akaun e-wallet yang dibangkitkan Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sementara itu bantuan kepada pesawah membabitkan cadangan peruntukan RM80 juta untuk Tabung Bencana Pertanian juga adalah antara isu dibangkitkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim ketika membahaskan Belanjawan itu sebelum ini.

Azeez turut mencadangkan bantuan RM300 sebulan kepada pekebun kecil.

Selain itu moratarium bagi sewa premis perniagaan yang terjejas yang turut dimasukkan dalam Belanjawan 2021 adalah hasil cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangan UMNO, Sharil Hamdan berkata, penambahbaikan Belanjawan 2021 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam sebahagiannya adalah hasil daripada gesaan wakil parti itu dan Barisan Nasional (BN).

“Selain pengeluaran simpanan KWSP dan lanjutan moratorium yang merupakan dua gesaan utama, kita jangan lupa bahawa penambahan bantuan yang diumumkan oleh menteri kewangan tadi juga adalah hasil cadangan BN dan Ahli Parlimennya.

“Syabas BN dan terima kasih menteri kewangan kerana sedia mendengar dan melaksanakan perubahan setelah mengadakan libat urus bersama Ahli Parlimen,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penambahbaikan dalam Belanjawan 2021 itu bukti bahawa suara rakyat didengari.

“Suara rakyat didengar. Segala syarat ketat ke atas pengeluaran Akaun 1 KWSP sebelum ini dimansuhkan dengan mengambil kira semua pencarum yang terjejas pendapatan, iaitu kira-kira 8 juta orang berbanding hanya 2 juta sebelum ini, selain kebenaran pengeluaran maksiumum RM10,000,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button