Jenayah

Pendakwah ditahan berhubung kes rogol gadis

Pendakwah selebriti ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol seorang gadis.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 malam tadi selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Perintah reman terhadap suspek akan dilakukan esok pagi di Mahkamah Shah Alam.

Utusan Malaysia melaporkan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, penahanan suspek dilakukan selepas mangsa berusia 23 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam kira-kira pukul 7.18 malam.

Menurut Baharudin, mangsa telah keluar dengan suspek yang dikenali menerusi media sosial Instagram yang bernama ‘DaiSyed’ atau Syed Iqmal kira-kira pukul 8 malam pada 11 September tahun lalu.

Menurutnya, mangsa menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang di hadapi dengan kaedah perubatan Islam.

“Suspek telah membawa mangsa makan di kedai makan di kawasan Batu 3. Selepas itu, suspek telah membawa mangsa ke rumahnya di sebuah studio di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberikan penerangan berhubung bagaimana hendak pulih daripada penyakit kemurungan.

“Semasa di rumah suspek, mangsa telah dirogol dan tidak terdaya hendak melawan. Malah, mangsa juga tidak tahu cara keluar dari tempat tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Jelas Baharudin, keesokan harinya, suspek telah memberikan amaran kepada mangsa supaya merahsiakan perkara yang terjadi dan memaklumkan dirinya akan dipantau daripada jauh setiap masa.

“Suspek terus menghantar mangsa ke lobi dan mangsa menaiki kenderaan aplikasi e-hailing untuk pulang ke rumah sewanya di Subang Jaya.

“Namun, mangsa telah dimasukkan ke Hospital Kajang kerana mengalami tekanan perasaan yang teruk serta dirujuk ke rawatan psikiatri dan perlu rawatan susulan pada 23 September tahun lalu.

“Malah, pada Oktober tahun lalu, mangsa telah balik ke rumah keluarga di Triang, Pahang dan telah mendapat rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan ditahan selama lima hari di wad psikiatri.

“Pihak hospital juga memaklumkan mangsa telah mengalami tekanan perasaan yang teruk serta trauma akibat dari kejadian tersebut dan masih menerima rawatan susulan,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Baru-baru ini, pendakwah selebriti terbabit membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Twitter, @ainunnnajwa yang didakwa memfitnahnya merogol seorang gadis.

Malah, pendakwah itu juga mengakui kesal dengan dakwaan tidak berasas itu selain menyifatkan apa yang berlaku ini sebagai fitnah paling buruk sepanjang kariernya.

(Visited 1,136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button