Nasional

Bot PATI karam: 3 lagi mayat dikenal pasti, operasi SAR ditamatkan

SUSULAN bot PATI karam, Konsulat Indonesia kenal pasti tiga lagi identiti mangsa yang terlibat dalam tragedi di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, Rabu lalu.

Identiti ketiga-tiga mangsa itu turut dikenal pasti oleh keluarga masing-masing, kata Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut KJRI lagi, ketiga-tiga mangsa adalah lelaki dengan dua daripada mereka berasal dari Cilacap, Jawa Tengah manakala seorang lagi berasal dri Lombok Timur.

Dengan pengecaman identiti tiga lagi mangsa tragedi bot karam itu menjadikan enam korban setakat ini telah dikenal pasti.

“KJRI telah bekerjasama dengan pihak keluarga serta institusi berkaitan untuk proses membawa pulang jenazah ke daerah asal di Indonesia,” katanya.

Hingga hari ini, untuk makluman, jumlah korban adalah 21 orang terdiri daripada 15 lelaki dan enam wanita manakala mangsa yang terselamat adalah seramai 13 orang, menurut kenyartaan yang sama.

Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang mengetuai Ops Carilamat mengesahkan, operasi itu ditamatkan semalam berikutan tiada penemuan baharu masuk hari kelima pencarian.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Simon Templer Lo Tusa berkata, operasi ditamatkan pada pukul 6 petang semalam dan Pangkalan Hadapan Carilamat yang ditempatkan di situ ditutup.

“Keputusan menamatkan pencarian dibuat selepas mengambil kira tiada penemuan baharu dan peluang untuk menjumpai mangsa yang masih hidup di laut amat tipis.

“Ini kerana operasi yang khusus tanpa sebarang petunjuk didapati kurang berkesan untuk diteruskan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Simon berkata, bagaimanapun pencarian dan pemantauan akan diteruskan oleh agensi yang bertugas menerusi operasi harian mengawal pesisir pantai, laut dan sebagainya.

Beliau berkata, tiada penemuan mangsa baharu setakat 3 petang semalam menjadikan jumlah korban kejadian kekal 21 orang, 13 terselamat manakala 16 dipercayai masih hilang. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button