Nasional

Bon berkelakuan baik Rafizi berakhir semalam

NAIB Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli yang dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM10,000 oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 1 Jun 2018 atas kesalahan mendedahkan kandungan Laporan Pengauditan 1MDB berakhir semalam.

Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir yang menjadi penjamin kepada Rafizi berkata, beliau tidak pernah merasa sangsi terhadap kesungguhan bekas Ahli Parlimen Pandan itu dalam menegakkan kebenaran.

“Kita seharusnya mengambil ikhtibar terhadap derita dan keperitan beliau melawan rasuah dan salah guna kuasa. Walaupun betapa kebalnya mereka yang berkuasa sebelum ini, akhirnya runtuh juga penyelewangannya.

“Biarlah kita semua terus berpegang dengan prinsip dan berani berkata benar walaupun dalam keadaan yang amat sengsara. Moga Allah rahmati saudara Rafizi, keluarga dan semua pemberi-pemberi maklumat di luar sana,” kata Akmal.

Rafizi terselamat daripada hukuman penjara selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan itu pada 1 Jun 2018 selepas mengetepikan hukuman 18 bulan penjara yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan itu sebelum ini.

“Kami bersetuju dengan hujah pihak perayu (Rafizi) dan mengetepikan hukuman penjara sebelum ini yang dikenakan Mahkamah Sesyen serta dan Mahkamah Tinggi dan digantikan dengan bon berkelakuan baik untuk dua tahun dengan cagaran RM10,000 serta seorang penjamin,” kata hakim ketika membuat keputusan.

Pada 14 November 2016, Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan, mengenakan hukuman penjara 18 bulan terhadap dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Rafizi didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang menjadi kesalahan di bawah OSA.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada jam 3 petang 24 Mac lalu mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) OSAdan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendedahkan kandungan laporan itu dalam sidang media di tempat dan masa sama, 28 Mac lalu, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 18 bulan yang dikenakan bagi pertuduhan pertama dan melepaskan serta membebaskan Rafizi daripada pertuduhan kedua.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button